rap

Iqram Dinzly reda pemergian bapa

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BAPA kepada pelakon Iqram Dinzly, Muhammad Saipuddin Ahmad Said, 71, yang meninggal dunia jam 5.35 pagi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Ipoh, Perak, petang hari ini.

Iqram berkata, bapanya meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru selain turut diserang angin ahmar pada 20 Jun lalu.

"Lima hari sebelum sambutan Aidilfitri lalu, arwah diserang angin ahmar. Kemudian bapa menghidap penyakit pundi kencing darah beku. Keadaan kesihatannya semakin teruk selepas terkena jangkitan kuman pada paru-paru.

"Sepanjang sakit, kesihatannya sudah pada tahap 50-50. Namun, arwah masih bersemangat. Bagaimanapun, saya bersama mama dan adik-beradik lain reda atas ketentuan Allah," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Iqram, sepanjang arwah bapanya terlantar sakit, dia berulang alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Kali terakhir mereka meluangkan masa bersama ialah pada sambutan hari lahir Iqram yang ke-36 pada 29 September lalu.

"Sejak arwah diserang angin ahmar, dia tidak boleh bercakap. Namun, saya percaya dia mendengar setiap butir kata kami sekeluarga.

"Saya bersyukur kerana sempat bersama arwah dan mama meraikan hari jadi saya. Walaupun perancangan asal saya nak keluar 'dating' dengan mereka, tetapi aturan Allah sebaliknya.

"Tidak ada apa yang perlu dikecewakan atau berasa ralat, kerana impian untuk meraikan bersama arwah tercapai," katanya.

Iqram berkata, buat masa sekarang dia tinggal di Ipoh bagi menemani ibunya selain ingin memulakan hidup baru.

"Saya mengambil keputusan untuk berehat seketika dalam bidang seni. Selama ini terlalu banyak perkara saya tinggalkan termasuk masa bersama keluarga.

"Diakui, apabila kita kehilangan seseorang baru terbit rasa rindu terutama masa bersama mereka. Jadi, saya tidak mahu lagi sia-siakan masa yang ada sekarang," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 7:24pm
d