rap

Vida tak puas hati!

Oleh Michelle Gun

JUTAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman yang juga penaja utama Gegar Vaganza musim keempat menyelar pihak Astro di Instagram hanya kerana tidak memberi dia peluang bercakap di sidang media program realiti itu, hari ini.

Usahawan yang mesra dengan panggilan Datuk Seri Vida itu memuat naik empat rakaman video berserta status meluahkan rasa kurang puas hati dan kecewa terhadap Astro di Instagram sebaik sidang media itu tamat.

Vida dalam salah satu status video itu berkata, luahan itu bukan gimik dan berpendapat produksi sepatutnya membenarkan dia berucap kerana menaja program realiti terbabit yang didakwa bernilai jutaan ringgit.

"Tak panggil saya cakap sepatah pun. Saya tak puas hati, pengajur lain yang saya taja pun bagi bercakap mengenai produk sendiri," katanya.

Malah, Vida turut menunjukkan dia seolah mahu menangis kerana sudah bersusah payah melaram ke sidang media, namun tidak diberi peluang mempromosikan produknya.

"Satu nama pun tak sebut. Saya taulah sidang media. Ini bukan publisiti murahan tetapi betul.

"Saya dah tunggu, belum apa-apa dah buat hal. Takut saya naik buang masa peserta ke?" katanya.

Dalam tempoh tiga jam dimuat naik, empat video berkenaan sudah ditonton puluhan ribu kali selain mendapat ratusan komen daripada peminat.

Dalam pada itu, pihak Astro ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen mengenai kenyataan Vida itu.

Disiarkan pada: October 10, 2017 @ 10:58pm
d