rap

Paling sukar buat Farahdhiya

Oleh Nor Akmar Samudin

Ini kali pertama Farahdhiya menjayakan teater bangsawan dan ia projek paling sukar pernah dilakukannya kerana dalam masa sama perlu berlakon, menyanyi, menari dan bersilat.

Ada guru silat yang mengajarnya bersilat tetapi apabila Farahdhiya, 33, mula nak membuka langkah dia terasa amat sukar.

“Selepas hampir sebulan berlatih barulah sedikit demi sedikit saya mendapatkan rentaknya. Saya tak pernah bersilat dan tentu pada awalnya rasa sangat janggal, tetapi sekarang silat saya sudah semakin bagus.

“Ketika tawaran untuk berlakon teater ini datang saya berbelah bahagi, namun terima juga kerana mesti mencuba kemampuan diri sendiri apatah lagi saya diberi peranan sebagai srikandi Melaka iaitu Tun Fatimah.

“Saya berlakon teater enam tahun lalu iaitu teater muzikal Terima Kasih Cinta tetapi ia teater moden. Menyanyi dan menari memang ‘kerja’ saya tetapi apabila kena bersilat, tentunya ia perkara baru bagi saya,” katanya.

Farahdhiya bakal beraksi dalam teater berjudul Bahara Emas terbitan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur mulai 19 hingga 22 Oktober ini.

Ia adalah sempena ulang tahun SPRM yang ke-50.

Teater arahan Rosminah Tahir itu turut dijayakan Izzue Islam, Along Eyzendy Aziz, Esma Daniel, Amar Asyraf, Datuk Jalaluddin Hassan, Mardiana Alwi, kumpulan Forteen, Mubarak Majid, Syed Atiq Wan Long, Rosdi Daud, Amran Nasrudin, Norzizi Zulkifli, Serra Kamal, Shahrul Mizad Ashari dan 40 pelakon tambahan.

Menurut Farahdhiya, dia akan melakonkan watak Tun Fatimah dengan sehabis baik.

“Walaupun cabaran besar menanti saya tetapi jika takut melakukannya, semua benda kita tak boleh buat.

“Keseluruhan teater ini bukanlah cerita sebenar, ada juga disisipkan elemen fiksyen. Jadi ada lakonan yang mengikut gaya saya sendiri tetapi masih merujuk kepada pengarah supaya watak dan perwatakan itu tidak tersasar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farahdhiya berkata, sejak menyertai program Gegar Vaganza musim kedua, dia mendapat banyak tawaran membuat persembahan hingga semakin jarang berlakon drama.

“Ada tawaran berlakon tetapi selalu bertentangan dengan jadual persembahan. Mana yang sudah saya berjanji lebih awal, tidak boleh dibatalkan.

“Bagaimanapun, saya lebih selesa dengan keadaan sekarang kerana ada banyak masa untuk keluarga dan diri sendiri,” katanya yang banyak menyanyi untuk acara korporat.

Namun, Farahdhiya tetap rindu untuk berlakon tetapi dia mahu membawakan watak jahat.

“Saya nak bawa watak jahat kerana sudah banyak sangat bawa watak baik,” katanya.

Selain itu, Farahdiya juga merakamkan lagu Inggeris dengan kerjasama seorang DJ antarabangsa. Lagu itu akan dimuatkan dalam album kompilasi bersama lagu nyanyian artis dari seluruh dunia.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 4:09am
d