rap

Kongsi ilmu jaga anak

Oleh Syanty Octavia Amry

Tujuannya mengetengahkan dua anaknya, Arrian Shah Akid, 5, dan Andra Shah Iman, 2, dalam program Rockstar Junior bukan bermaksud Tomok melanggar pendiriannya memberi publisiti berlebihan kepada anak.

Sebaliknya, pembabitan penyanyi itu bersama isteri dan anak dalam program lapan episod itu sekadar berkongsi pengalaman dan tip dalam penjagaan anak.

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Rindu Terhenti ini, dia masih dengan pendirian tidak mahu terlalu mendedahkan anak dengan dunia hiburan.

“Saya menerima pelawaan Astro kerana saya memandangnya dari sudut positif. Sejak dulu saya memang dedahkan aktiviti anak melalui Instagram dan menerusi program ini mereka yang meminati anak saya boleh melihat lebih banyak lagi.

“Namun, untuk mengadakan sesi fotografi bersama media saya rasa belum masanya lagi kerana mereka masih terlalu kecil untuk didedahkan sangat,” katanya.

Mengulas mengenai Rockstar Junior, Tomok berkata, sebelum bersetuju menerima pelawaan Astro, dia dan isteri, Rahayu Abas sudah berfikir semasak-masaknya mengenai perkara itu.

“Banyak perkara saya fikirkan dan berbulan-bulan juga masa saya ambil untuk membuat keputusan menerima tawaran diberikan oleh Astro.

“Saya perlu mempertimbangkan pandangan orang luar dan bersedia menerima apa juga kritikan apabila program ini ditayangkan nanti,” katanya.

Rockstar Junior: Arrian & Andra mula bersiaran setiap Rabu menerusi slot eBu jam 9 malam.

Dalam program itu, Tomok dan isteri banyak menekankan ilmu penjagaan anak yang dilakukan sendiri tanpa bantuan pembantu.

“Sejak dulu kami menguruskan anak sendiri. Bukan tidak percaya kepada orang lain, tetapi menetap di kondominium dengan ruang yang terhad, kami lebih selesa hanya keluarga berada di dalamnya.

“Apa yang cuba kami kongsikan sekadar pengalaman sendiri dan mana yang baik dan positif itu mungkin bermanfaat untuk digunakan oleh ibu bapa lain,” katanya.

Sementara itu, Rahayu berkata, sebagai ibu perkara yang paling dia bimbangkan apabila menerima tawaran ini anak-anak kurang selesa sehingga menyusahkan produksi.

“Kanak-kanak biasanya punya ‘mood’ sendiri dan kita tidak boleh paksa mereka untuk buat apa yang kita mahu.

“Arrian dan Andra mempunyai karakter yang berbeza dan saya bimbang jika perangai mereka menyukarkan kerja produksi.

“Namun, saya bersyukur apabila produksi memahami perkara itu dan boleh mengikut waktu kami,” katanya.

Menariknya, lagu tema program ini juga dihasilkan sendiri oleh Tomok bersama Arrian.

Disiarkan pada: October 12, 2017 @ 4:16am
d