rap

Akibat dah teruja sangat

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Kegilaan peminat yang melakukan tindakan di luar batasan terhadap penyanyi muda lelaki sedang meningkat naik, adakalanya membuatkan kita berfikir, mereka itu meminati artis terbabit kerana bakatnya atau paras rupa?

Sifat keterlaluan peminat ini ada ketikanya cukup membimbangkan kerana ia membabitkan anak gadis yang masih muda remaja. Apa yang pasti, tindak-tanduk mereka itu tidak matang dalam berfikir.

Namun, kalau dinilai kembali sikap peminat yang agak melampau, ia bukan saja membabitkan anak remaja, malah mereka yang sudah berusia dan bergelar isteri orang juga ada ketika menjadi ‘lupa diri’ apabila berada di hadapan pujaan mereka.

Mengimbas isu hangat yang pernah timbul apabila peminat mengambil kesempatan terhadap penyanyi Anuar Zain apabila ada yang memeluk dan menciumnya sewaktu mengadakan persembahan.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Anuar menjelaskan dia sendiri tidak dapat mengelak apabila ada peminat yang bertindak sedemikian dan yakin perkara itu timbul disebabkan perasaan teruja serta tidak lebih daripada itu.

Fenomena penyanyi muda digelar ‘budak baru nak up’ (BBNU) mula hangat apabila Aiman Tino muncul dengan dengan lagu Ku Rela Di Benci dan jumlah penonton klip videonya di laman YouTube mencecah lebih 20 juta.

Selepas itu muncul lebih ramai penyanyi muda dan remaja yang turut diminati ramai seperti Irfan Haris, Haqiem Rusli, Tajul dan Ismail Izani.

Bagaimana mereka yang masih mentah dan tidak banyak pengalaman ini berhadapan dengan situasi peminat bertindak di luar batas atas rasa keterujaan?

Aiman Tino

“Saya pertama kali berhadapan dengan situasi peminat bertindak keterlaluan sewaktu awal kemunculan. Ketika itu saya mengadakan persembahan promosi di Angsana, Johor Bahru, Johor.

Sewaktu dibawa keluar selepas selesai mengadakan persembahan, hampir 5,000 peminat datang dan menyerbu. Ketika itulah ada antara peminat perempuan tanpa rasa segan dan malu mengambil kesempatan memeluk serta mencium.

Perkara itu memang banyak memberi pengajaran kepada saya. Ekoran peristiwa itu, apabila muncul mengadakan persembahan langkah keselamatan perlu diperketatkan.

Memang rasa kurang senang apabila ada peminat yang bertindak keterlaluan kerana sudah tentu ia melanggar adab dan sopan. Dalam hal seperti itu, saya sebenarnya bimbangkan peminat itu sendiri kerana takut ada orang yang mahu mengambil kesempatan merakam gambar dan menularkannya.

Perkara seperti itu boleh mengaibkan bukan saja saya, tetapi peminat itu sendiri, sedangkan apa dilakukan itu disebabkan rasa keterujaan yang tidak terkawal.

Apabila berdepan situasi seperti ini, sebaik-baiknya apabila kita menyukai seseorang selebriti biarlah bersederhana kerana itu lebih baik dan memudahkan.

Kalau mereka datang secara sopan dan menegur dengan baik, sudah tentu saya sendiri tidak keberatan meluangkan masa untuk berbual dengan mereka. Sudah tentu saya sendiri senang kerana mereka meminati saya.

Tapi bayangkan kalau ada yang datang tiba-tiba berlari dan mahu memeluk sudah tentu ia menimbulkan rasa takut. Saya pun bimbang untuk meluangkan masa kerana nanti kalau dilayan boleh menimbulkan perkara tidak diingini atau paling tidak, ia menjadi fitnah.

Pihak pengurusan juga banyak membantu dengan memastikan ada pihak menjaga keselamatan dan keadaan apabila saya berada dalam kelompok yang ramai.

Tapi kalau situasi boleh dikawal, saya sendiri boleh bercakap dan menegur peminat yang cuba bersikap keterlaluan itu. Selalunya mereka menerima teguran itu dengan baik.”

Ismail Izani

“Walaupun masih baru, memang saya pernah berdepan situasi sedemikian. Rasa teruja peminat itu sehingga mahu mengikut saya pergi ke tandas!.

Pada mulanya berasa hairan juga mengapa peminat itu ikut tapi tidak berfikir buruk sehinggalah saya mahu melangkah ke dalam tandas.

Apabila berdepan situasi seperti itu, memang ada ketika membuatkan artis baru seperti saya tidak faham akan kegilaan peminat. Dalam hal ini, saya berasa serba salah.

Waktu itu saya katakan kepadanya, saya tidak lari ke mana-mana dan peminat terbabit boleh saja tunggu di luar dan akan datang kembali.

Mujur peminat itu faham dan itu pertama kali saya melihat seseorang peminat boleh bersikap di luar batasan apabila menyukai seseorang artis.

Berdepan dengan keadaan itu, saya lebih percaya cara diplomasi dengan peminat yang tidak dapat mengawal perasaan teruja mereka untuk menanganinya.

Setakat ini saya belum berdepan situasi dikerumuni peminat yang ramai sehingga ada yang cuba mengambil kesempatan memeluk dan mencium.

Bagaimanapun, melihat apa yang berlaku kepada teman sebelum ini, saya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana tidak mahu ia menimbulkan salah faham kepada pihak lain kelak.”

Irfan Haris

“Dalam hal ini, saya belum berdepan situasi melampau seperti peminat wanita yang datang mahu memeluk atau mencium.

Alhamdullilah situasi seperti itu belum pernah berlaku terhadap diri saya. Mungkin kerana saya sendiri jarang tampil di hadapan umum memandangkan sekarang sibuk dengan sekolah dan peperiksaan.

Persembahan yang dilakukan pun hanya pada cuti sekolah dan membabitkan skala kecil, jadi selalunya keadaan terkawal.

Tapi saya tidak nafikan ada menerima pesanan daripada peminat yang cuba mengajak bercinta. Kadang-kadang mereka ada juga menghantar mesej nakal, tetapi saya tidak melayaninya.

Bapa juga turut memantau laman sosial saya. Jadi perkara yang boleh memberi kesan buruk terhadap saya sudah ditapis terlebih dulu.

Apabila berdepan situasi sedemikian, saya tidak boleh menyalahkan peminat sepenuhnya kerana kadang-kadang perasaan teruja mengatasi tindakan logikal.

Cuma pesan saya, suka macam mana pun seharusnya kita menjaga batas kerana sikap keterlaluan itu boleh mendatangkan keburukan bukan saja kepada penyanyi, tetapi kepada diri peminat itu sendiri.”

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 2:53am
d