rap

Mangsa gangguan seksual jurusolek

Oleh Georgie Joseph

Aktres Blake Lively tampil bersuara mengenai detik hitamnya akibat gangguan seksual selepas beberapa nama besar termasuk Angelina Jolie, Kate Beckinsale dan Gwyneth Paltrow membuka mulut mengenai isu itu.

Blake, 30, mendakwa diganggu seorang jurusolek lelaki di sebuah set penggambaran sehingga berasa tidak selesa.

“Dia bercakap perkara bukan-bukan dan berkeras mahu memakaikan saya gincu menggunakan jarinya,” katanya.

Dakwa pelakon Gossip Girl itu, jurusolek terbabit bertindak lebih berani apabila mula melakukan gangguan seksual. Bahkan, perlakuan lelaki itu semakin melampau sehingga dia ketakutan.

“Sebaik terjaga daripada tidur di lokasi penggambaran, saya nampak dia sedang merakam saya. Meskipun berbaju, bagi saya tindakannya keterlaluan,” katanya.

Dia kemudian melaporkan insiden itu kepada penerbit namun tiada tindakan diambil. Berikutan itu, Blake memutuskan untuk mengupah peguam dan jurusolek itu disiasat.

Akhirnya, jurusolek itu digugurkan daripada projek terbabit.

Bagaimanapun, Blake mendapat tahu lelaki berkenaan masih bekerja dalam industri selepas insiden itu.

“Ternyata, pengurus produksi projek itu membantunya dengan niat tidak mahu mencetuskan sebarang pertengkaran,” katanya.

Hal itu didedahkan Blake baru-baru ini sebagai tanda sokongannya terhadap semua wanita yang berani membuka mulut pernah menjadi mangsa gangguan seksual Harvey Weinstein.

“Selepas mendengar cerita mereka, kita perlu percaya dan mengambil serius apa yang disampaikan itu. Insiden sebegini berlaku di mana-mana saja dan kita perlu sentiasa peka.

“Wanita mesti bangkit mempertahankan maruah diri,” katanya.

Bukan saja Blake, ramai bintang ternama turut bersuara menentang isu gangguan seksual termasuk Meryl Streep, Mark Ruffalo, Jennifer Lawrence dan Ryan Gosling.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 11:47am
d