rap

Belum terfikir cari pengganti

Oleh Najiy Jefri

Pelawak dan penyampai radio Hot FM, Issey mengakui belum terfikir mencari pengganti selepas bercerai tahun lalu.

Menurut Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, 30, kesibukan kerjaya membuatkan dia lupa seketika soal pasangan hidup.

Bagaimanapun, Issey mengakui, sejak kembali hidup solo, dia rindu dengan kehidupan berumah tangga.

“Kesibukan kerjaya membuatkan saya lupa semua masalah lalu. Pada masa sama, saya kini sibuk menjaga ibu yang mengalami penyakit kencing manis tahap kronik. Jadi, masa saya banyak dihabiskan untuk keluarga dan bisnes kafe yang diusahakan.

“Bagi saya, dengan cara ini saya dapat menghilangkan kedukaan apabila berasa sunyi. Tipulah kalau saya kata tidak sunyi, saya pernah ada isteri yang menyediakan pakaian, makan dan minum sebelum ini,” katanya.

Issey berkata, buat masa ini dia belum menemui calon isteri yang sesuai serta tidak pernah mengehadkan tempoh akan berkahwin.

“Saya masih solo dan belum temui kekasih hati, tapi tidak dinafikan berkawan dengan ramai wanita.

“Namun saya akui sedikit terganggu dan tertekan apabila melihat rakan sebaya mendirikan rumah tangga.

“Desakan rakan yang bertanya bilakah mahu berkahwin turut sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Issey akui teruja apabila rakan gandingannya, Ammar kembali bertugas di konti selepas digantung tugas hampir enam bulan.

Sebelum ini, Ammar digantung tugas berikutan isu membabitkan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek yang berang dengan tindakannya mempersendakan nama mendiang ayahnya sewaktu mengendalikan program Sukan Tak Sentral bersama Marsha.

Kata Issey, sejak Ammar kembali bertugas, dia dan Deen antara individu yang merindui kelatah serta gelak tawanya.

“Apabila ke udara bertiga ia menjadi pelengkap kepada segmen kami.

“Ketiadaan Ammar ibarat satu kehilangan apabila saya dan Deen perlu bergandingan berdua. Namun, apabila Ammar kembali, saya berasa lega dan mahu mengembalikan momentum yang sudah lama hilang.

“Bagaimanapun, banyak latihan dan perancangan perlu dilakukan memandangkan kami sudah lama tidak ke udara bersama. Selalunya kami akan berbincang sebelum ke udara,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 11:57am
d