rap

Terbaik pada usia emas

Oleh Michelle Gun

Biarpun lebih dua dekad tidak menjejakkan kaki di Malaysia, kumpulan rock Amerika Syarikat, Mr Big belum dilupai pengikut setia mereka di sini.

Persembahan kumpulan itu di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, Sabtu lalu mendapat sambutan hangat apabila disaksikan lebih 2,000 peminat.

Walaupun lagu Mr Big mula popular pada lewat 80-an, karya mereka turut diterima baik segelintir generasi muda.

Mr Big yang dianggotai Eric Martin selaku vokalis, Billy Sheehan (bass), Paul Gilbert (gitar) dan Pat Torpey (dram) berjaya meninggalkan impak besar dalam sejarah muzik apabila lagu hit To Be With You memperkenalkan mereka ke peringkat antarabangsa.

Ini sekali gus melayakkan Mr Big memperoleh jualan rekod platinum tertinggi.

Pada konsert yang bermula kira-kira jam 8 malam itu, Martin berkata anggota kumpulan dari Los Angeles itu tidak pernah melupakan peminat di negara ini.

“Walaupun masa sudah lama berlalu, kami masih ingat anda semua,” katanya dengan ringkas.

Sheehan pula dalam temu bual baru-baru ini berkata persembahan dan menghasilkan muzik dengan sepenuhnya membolehkan kumpulan berkenaan bertahan lama dalam industri muzik.

“Kami tidak menggunakan teknologi untuk mengubah vokal atau melakukan sebarang pengubahsuaian ketika menghasilkan lagu.

“Semua muzik kami adalah asli dan akan mengekalkannya sampai bila-bila,” katanya.

Meskipun anggota Mr Big sudah menginjak usia emas, mereka masih boleh memberi persembahan hebat dengan menyampaikan sebanyak 23 lagu.

Konsert berlangsung hampir tiga jam itu turut menyaksikan Gilbert dan Sheehan masing-masing menunjukkan skil petikan gitar.

Sementara itu, Torpey yang menghidap penyakit Parkinson kelihatan masih mampu beraksi di pentas.

Kumpulan itu turut melantik pemain dram, Matt Star untuk membantu sewaktu persembahan.

Berikutan tahap kesihatan Torpey, Star turut terbabit dalam rakaman lagu album kesembilan Mr Big, Defying Gravity yang diterbitkan pada Julai lalu.

Konsert anjuran Plan 7 Production itu diadakan bagi mempromosikan album terbaru Mr Big yang memuatkan 11 lagu.

Menariknya, rakaman album berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh enam hari sahaja.

Antara lagu yang dipersembahkan dari album itu adalah Everybody Needs a Little Trouble, Open Your Eyes, Forever and Back, Damn I’m in Love Again, 1992 dan Defying Gravity.

Tidak ketinggalan lagu hit yang mempopularkan mereka iaitu Wild World, To Be With You, Just Take My Heart dan Green-Tinted Sixties Mind.

Anggota kumpulan itu turut menyampaikan Take Cover yang pernah diangkat sebagai lagu tema siri animasi Jepun, Mega Man.

Lagu lain yang dipersembahkan adalah American Beauty, Undertow, Alive and Kickin, Promise Her the Moon, Rock & Roll Over dan Around the World.

Mr Big pernah dibubarkan pada 2002 namun bersatu semula tujuh tahun kemudian atas permintaan peminat tegar mereka.

Konsert pertama Mr Big di negara ini adalah pada 1994 di Stadium Merdeka dan disaksikan lebih 6,000 penonton.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 12:02pm
d