rap

Fathia dan Uqasha dalam Cuit Sikit malam ini

Sudirman Mohd Tahir

Program bual bicara pertama terbitan Harian Metro (HM), Cuit Sikit yang mula bersiaran secara langsung di Facebook HM sejak 11 Oktober lalu berjaya menarik perhatian peminat dan penggiat industri hiburan tempatan.

Menerusi episod pertama mengenai topik Kuasa Duit, banyak maklum balas positif diterima. Malah lima segmen yang dipaparkan dalam program ini dianggap relevan.

Episod kedua Cuit Sikit bermula jam 9 malam ini yang mengetengahkan 'tagline' Manja Manja Je menampilkan dua pelakon sensasi dan kontroversi iaitu Fathia Latiff dan Uqasha Senrose menerusi topik Peluang Kedua.

Penerbit Cuit Sikit, Rudy Imran Shamsudin berkata, pemilihan dua pelakon itu sesuai dengan topik apatah lagi kedua-duanya masih diberi peluang berkarya dalam bidang lakonan.

"Topik ini dipilih kerana cerita membabitkan Fathia masih hangat diperkatakan. Selepas dia tampil memohon maaf, banyak maklum balas diterima mengatakan dia wajar diberi peluang kedua.

“Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Uqasha. Jadi, saya berpendapat kedua-dua mereka antara individu yang layak untuk bercakap mengenai perkara ini. Program ini pasti jadi lebih hangat," katanya.

Selain menampilkan dua tetamu jemputan itu, episod malam ini turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Neon Band yang kini popular dengan lagu Cinta Yang Telah Mati.

Cuit Sikit ditayangkan secara langsung setiap Rabu, jam 9 malam di akaun rasmi Facebook HM.

Program berkonsepkan sembang santai itu bakal mengupas topik hangat dalam industri hiburan termasuk isu yang kerap menjadi bualan dalam kalangan selebriti terkenal.

Program dihoskan tiga wartawan hiburan HM iaitu Sudirman Mohd Tahir, Najiy Jefri dan Georgie Joseph itu menampilkan dua selebriti popular sebagai tetamu undangan dalam setiap episod.

Program selama 40 minit itu dibahagikan kepada lima segmen iaitu soal jawab Isu Cuit Sikit, Apa Kata, 5 Kebaboom, Cik Pang dan Akustika.

Di samping menonton, penonton boleh memberikan komen atau bertanyakan soalan menerusi ruangan komen di FB Live itu nanti.

Disiarkan pada: October 18, 2017 @ 2:49pm
d