rap

Jejak awal Han Solo

Oleh Susunan Aimie Pardas

Filem kisah awal Han Solo, watak kesayangan dalam siri Star Wars, kini sudah diberi tajuk yang diumumkan pengarahnya, Ron Howard.

Howard mendedahkan tajuk Solo: A Star Wars Story dalam video menerusi laman Twitternya, jam 12.08 tengah malam semalam.

Dalam video itu, Howard yang juga pengarah filem A Beautiful Mind, Appolo 13 dan The Da Vinci Code turut memaklumkan penggambaran filem itu sudah tamat.

Beliau mengambil alih penerbitan filem itu daripada dua lagi pengarah yang diberhentikan, awal tahun ini.

Filem ini mengikuti jejak awal Han Solo yang pertama kali dilakonkan Harrison Ford dalam siri Star Wars : A New Hope pada 1977.

Solo: A Star Wars Story akan ditayangkan pada 25 Mei tahun depan.

Watak Han Solo dalam filem baru ini dilakonkan Alden Ehrenreich, manakala Donald Glover melakonkan watak Lando Calrissian yang dilakonkan oleh Billy Dee Williams dalam siri Star Wars asal.

Filem Han Solo ini adalah kisah kedua daripada tiga filem berdiri sendiri Star Wars yang bermula dengan Rogue One: A Star Wars Story, tahun lalu.

Han Solo juga sebahagian daripada perkembangan siri Star Wars yang dihidupkan semula dengan filem blockbuster 2015, Star Wars: The Force Awakens.

Ia mencatat kutipan hampir RM9 bilion untuk tayangan di seluruh dunia.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 4:28am
d