rap

Nikita artis muda seberang paling kaya

Oleh Syanty Octavia Amry

Kekayaan selebriti di Indonesia tidak perlu dipertikai lagi. Bukan hanya di Indonesia bahkan negara serantau juga dapat melihat gaya hidup mewah mereka.

Apatah lagi di Indonesia mereka terbuka berkongsi nilai aset yang dimiliki. Boleh dikatakan lebih 20 selebriti Indonesia bukan saja popular, malah mampu hidup kaya raya dengan hasil kerja keras mereka.

Bling! kali ini menyenaraikan 10 artis Indonesia paling kaya untuk 2017.

1. Raffi Ahmad

Memulakan karier seni sebagai pelakon seawal usia remaja, artis kelahiran Bandung ini menduduki tempat teratas apabila kekayaannya bernilai RM10 juta.

Selain berlakon, suami kepada pelakon Nagita Slavina ini juga turut mengembangkan bakat sebagai penyanyi dan pernah menganggotai kumpulan BBB (Bukan Bintang Biasa).

Roda seninya terus berputar laju saban tahun, malah sering muncul di kaca televisyen.

Sehingga kini, Raffi masih aktif mengacarakan program hiburan popular, Dahsyat. Dia juga mula berjinak-jinak dalam dunia penerbitan dan filem pertama terbitan syarikatnya adalah Rafathar yang menampilkan anaknya sendiri sebagai watak utama.

Selain itu dia turut mengusahakan perniagaan perbankan, pakaian, makanan dan terbaru bakal membuka taman tema di Jakarta.

2. Tukul Arwana

Memiliki kekayaan bernilai RM9.1 juta, Tukul Arwana dikenali sebagai antara pelawak terbaik Indonesia.

Kemampuannya menguasai komedi secara bersaja membuatkan dirinya terkenal dan disayangi ramai.

Selain mendominasi pentas komedi, anak seni kelahiran Semarang ini juga mengacara beberapa program terkenal.

Bukan Empat Mata antara program kelolaannya yang sangat popular sehingga kini.

3. Roro Fitria

Hebat di pentas peragaan, wanita berusia 30 tahun ini bukan calang-calang apabila berjaya mengumpul kekayaan bernilai RM8.2 juta.

Malah Roro juga terkenal sebagai penyanyi dangdut menerusi goyang jaipong yang dibawanya.

Gaya hidupnya yang mewah membuatkan ramai tertanya-tanya berapakah jumlah kekayaan yang dimilikinya.

Sebelum ini, Roro pernah membuat pengakuan bukan bergantung kepada pendapatan kerjaya seni dan peragaan semata-mata, tetapi turut aktif dalam bisnes hartanah.

4. Nikita Willy

Mula berjinak-jinak dalam dunia hiburan seawal usia enam tahun, Nikita kini memiliki kekayaan berjumlah RM8 juta.

Pada usia 23 tahun, Nikita kini boleh dikategorikan sebagai artis muda paling kaya di negara kelahirannya.

Drama bersiri Bulan Bintang antara karya yang melonjakkan nama anak jati Jakarta ini.

Drama Putri Yang Ditukar juga membuka mata banyak pihak untuk melamarnya pelbagai kerja sehingga tidak menang tangan.

Selain berlakon, Nikita juga mencanai bakatanya sebagai penyanyi. Malah dia turut melabur dalam dunia hartanah.

5. Deddy Mizwar

Deddy antara bintang veteran yang kekal bersinar sehingga hari ini. Keberkesanan lakonannya sering mendapat pujian ramai, malah Deddy menjadi rujukan pelakon generasi baru.

Filem lakonannya berjudul Naga Bonar cukup popular sekitar tahun 80-an.

Kini, dia aktif dalam dunia politik sebagai wakil gebenor bersama Ahmad Heryawan mewakili kawasan Jawa Barat.

Deddy berada di kedudukan kelima artis paling kaya apabila jumlah kekayaannya bernilai RM7.6 juta.

6. Andre Taulany

Memulakan karier seni bersama band Stinky, Andre kemudian memilih mengasah bakatnya sebagai pelakon.

Kiamat Sudah Dekat antara drama yang melonjakkan nama Andre di gelanggang seni Indonesia. Tidak lama kemudian, Andre turut aktif di pentas komedi.

Program OVJ kendaliannya berjaya menghiburkan pengikut setianya. Tidak hanya itu, Andre juga kerap dihujani tawaran menjayakan iklan beberapa produk terkenal.

Sehingga kini, Andre memiliki kekayaan bernilai RM6.6 juta.

7. Sule

Satu ketika dulu, Sule bukan sesiapa. Namun kehidupannya mula berubah apabila menyertai program jenaka SOS. Sekelip mata, nama Sule menjadi sebutan ramai.

Dengan kekayaan bernilai RM6.4 juta, Sule kini mampu melakukan apa saja. Berkolaborasi dengan Andre, Sule kini mengemudi program jenaka OVJ. Sejak itu dunia komedi sebati dengan dirinya malah dia pernah mendapat bayaran RM300,000 setiap bulan.

8. Anjasmara Prasetya

Tidak hanya terkenal sebagai pelakon, suami kepada Dian Nitami ini juga model ternama.

Menerusi dua bidang itu, Anjasmara berjaya meraih kekayaan bernilai RM5.8 juta.

Sehingga kini, wajahnya masih laku malah menjadi pilihan banyak pihak untuk menghiasi papan iklan gergasi dan kaca televisyen.

9. Nagita Slavina

Sama seperti suaminya, Raffi Ahmad, Nagita juga tergolong dalam 10 artis Indonesia paling kaya.

Memiliki kekayaan bernilai RM5.6 juta, Nagita pada awalnya aktif sebagai model iklan pelbagai produk pembersih wajah.

Drama Di Sini Ada Setan membuka laluannya untuk memahat nama sebagai pelakon. Nagita juga bergiat aktif dengan kerja belakang tabir.

Dia turut bertindak selaku penerbit barsama syarikat produksi keluarganya, PT Frameritz.

Nagita selesa mengamalkan gaya hidup sederhana malah tidak gemar mempamerkan kekayaan yang dimiliki.

10. Syahrini

Sentiasa bergaya mewah, kekayaan Syahrini dilaporkan bernilai RM5.2 juta.

Syahrini percaya sebagai penghibur, peminat mahu dia sentiasa kelihatan cantik dan bergaya. Sebab itulah Syahrini akan memastikan dirinya tampak mewah dari hujung rambut ke hujung kaki.

Memandangkan jadual persembahannya sangat padat, Syahrini selesa menggunakan khidmat jet peribadi yang disewanya untuk ke sana sini bagi memudahkan diri dan pasukannya.

Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu Kau Yang Memilih Aku ini juga turut menyertai kelab kereta Lamborghini.

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 12:44am
d