rap

Kuasa peminat, juri sama penting

Oleh Norhayati Nordin

Bukan semua selebriti di negara ini bernasib baik meraih populariti dalam sekelip mata. Terbukti kuasa peminat kini adalah penanda aras kepada populariti selebriti untuk mencipta nama.

Pelakon kacak Fattah Amin antara insan yang bertuah. Meski pernah dilabel ‘pelakon kayu’ pada awal kemunculan, dia kini disanjung tinggi peminat apabila dinobatkan Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada Mei lalu.

Bukan sekadar unggul di ABPBH, nama Fattah juga mendominasi Anugerah MeleTop Era 2017 (AME 2017).

Ternyata, lakonan Fattah dalam drama Suri Hati Mr Pilot (SHMP) arahan Michael Ang berjaya memukau peminat untuk terus menghargai bakatnya.

Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat juga tidak kurang hebatnya. Sejak beberapa tahun lalu, nama Ayda mula meniti di bibir peminat.

Bahkan, sehingga kini sudah puluhan anugerah hasil undian peminat menjadi miliknya.

Biarpun Ayda pernah berdepan insiden menyayat hati apabila disingkir daripada program realiti Akademi FantasiA musim kesembilan (AF9) pada 2011, ia bukan titik noktah buatnya. Peluang membintangi drama Rindu Awak 200 Peratus 2014 membuka dimensi baru buat Ayda.

Tidak hanya membuktikan bakatnya dalam lakonan, kini Ayda berjaya memikat hati pengikutnya menerusi lagu dendangannya.

Selepas muncul dengan single Siapa Diriku, Ayda memperkenalkan Pencuri Hati, Nakal Nakal Nakal, Mata dan terbaru Pinjamkan Hatiku duet bersama Adi Priyo.

Seorang lagi selebriti yang turut meraih populariti dalam tempoh yang singkat tidak lain, tidak bukan Khai Bahar.

Khai yang baru setahun aktif menyanyi sudah berjaya meyakinkan peminat dengan kelunakan vokalnya.

Penyanyi lagu Bayang ini mula menjadi perhatian selepas berduet lagu Memori Berkasih dengan penyanyi Siti Nordiana melalui aplikasi Smule.

Persoalannya, adakah kuasa peminat menjadi penanda aras kepada populariti seseorang artis? Kolum Cuit Sikit minggu ini menemubual barisan artis popular berhubung isu ini.

Rata-rata selebriti yang ditemu bual mengakui kuasa peminat memainkan peranan penting untuk menentukan populariti seseorang artis itu dalam bidang hiburan tanah air.

Namun, kuasa panel juri juga tidak boleh dinafikan dalam menilai bakat seseorang artis itu untuk terus bertahan dalam bidang seni.

FATTAH AMIN

“Bagi saya sama ada anugerah bersandarkan undian peminat yang menjurus pada populariti dan juri (penilaian untuk terbaik), kedua-duanya ada kekuatan tersendiri.

Bagaimanapun, yang pasti tidak bermakna memenangi anugerah daripada undian peminat meletakkan hasil lakonan seseorang pelakon itu kurang baik.

Sebabnya, kini penonton juga mempunyai penilaian sendiri iaitu mereka memilih kerana percaya pada bakat artis yang diminati itu.

Manakala, untuk penilaian juri pula tidak dinafikan, mereka lebih berpengalaman dalam memilih mutu lakonan terbaik.

Jadi bagi saya, kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri. Anugerah daripada peminat atau juri, masing-masing adalah satu pengiktirafan bermakna.

Selain itu, selepas meng­harungi pelbagai fasa suka duka sebagai pelakon akhirnya saya berjaya berada pada tahap sekarang.

Ternyata, ia belum mampu membuatkan saya puas untuk meyakinkan peminat terhadap kepercayaan diberikan mereka untuk membuat yang terbaik lagi.

Malah, buat peminat yang menjadikan kejayaan saya inspirasi mereka, terima kasih kerana mempercayai bakat saya dan semoga kita bersama mencuba untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya”.

AYDA JEBAT

“Bagi saya kemenangan hasil undian peminat atas tiket populariti dan juri untuk penilaian terbaik tidak perlu dibezakan.

Ini kerana apabila mereka dipilih memenangi anugerah walaupun kerana undian peminat ia sesuatu yang sangat bermakna.

Tidak perlu dipertikaian kemenangan kerana undian peminat kerana ia juga rezeki.

Tidak dinafikan untuk masa sekarang memang populariti itu terletak di tangan peminat dan jika pandai layan nereka (peminat) dengan ikhlas, pasti rezeki akan datang melimpah-ruah.

Namun, meskipun boleh dianggap saya kini berada pada tahap yang baik, ia tidak bermakna sudah mampu berasa selesa.

Setiap hari, saya sentiasa fikir apa yang patut dilalukan untuk kepuasan peminat sama ada untuk projek lakonan, lagu yang akan dirakamkan termasuk pakaian digayakan.

Sebagai selebriti, memang saya akui apa saja yang dilakukan pasti menarik perhatian peminat.

Oleh itu, saya sentiasa bersikap terbuka menerima apa saja kritikan peminat kerana memang utamakan hati peminat.

Terus terang, saya akan sentiasa pastikan dapat memenuhi impian peminat kerana sokongan yang mereka berikan sangat dihargai.

Apatah lagi, ahli kelab peminat saya Ayda Jebat Screamer (AJS) cukup prihatin, saling membantu dan banyak berkorban untuk kejayaan saya.

Jasa mereka (peminat) memang sangat besar dan takkan mampu membalasnya sehingga ke akhir hayat.

Apa yang pasti, saya juga tidak pernah meletakkan diri untuk menjadi idola kepada orang lain kerana setiap hari sentiasa belajar perkara baru.

Untuk menjadi idola kepada orang lain, saya tidak pasti sama ada sudah layak kerana sedar diri tidak sempurna.

Namun begitu, untuk lakonan dan nyanyian, selalu pastikan membuat sesuatu yang saya suka dan bukan kerana mahu mengikut orang lain.”

Khai Bahar

“Syukur saya mendapat sokongan padu daripada peminat setia di luar sana. Mereka tidak pernah berhenti memberikan kata-kata semangat.

Saya akui, setakat ini anugerah yang dimenangi adalah berdasarkan undian peminat dan populariti. Merangkul lima anugerah dalam masa setahun perkara saya tidak pernah jangka dan semuanya berkat usaha keras peminat yang tidak jemu menyokong.

Kalau mahu gelaran yang terbaik, mungkin belum rezeki saya lagi kerana masih baru dalam bidang ini. Malah, saya masih belajar.

Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada penyokong (peminat) kerana percayakan bakat dimiliki. Tidak lupa, keluarga juga tulang belakang dan kekuatan saya.

Dengan pencapaian yang dimiliki, rasanya diri ini belum layak dijadikan idola. Cukuplah saya menjadi inspirasi kepada anak muda yang ingin berjaya.”

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 12:49am
d