rap

Mawar 'gila-gila'

Oleh Nor Akmar Samudin

Nampak macam senang tetapi sebenarnya bukan mudah untuk membuat orang ketawa.

Apatah lagi jika kita bukan seorang pelawak.

Bagaimanapun, Mawar Rashid dapat melakonkan watak lucu dengan baik menerusi drama Cinta Bersegi-Segi arahan Shuhaimi Lua Abdullah.

Shuhaimi berkata, Mawar seorang yang suka bercakap, kelakar dan ‘gila-gila’. Jadi, wataknya itu boleh dibentuk untuk menjadi pelakon komedi.

“Jika dia pendiam susahlah sikit untuk minta dia jadi kelakar. Pelakon yang suka nampak cantik saja juga tak boleh bawa watak kelakar.

“Dalam Cinta Bersegi-Segi, Mawar tak kisah dimekap seperti badut dengan rambut bertocang tegang. Berlakon watak komedi tidak semestinya dialog perlu lucu tetapi melalui perwatakan dan karakter pun orang boleh ketawa.

“Mawar boleh berlakon komedi, malah sepanjang penggambaran dia sentiasa mahu bagi lebih. Dia memang bersungguh-sungguh. Dalam satu babak ada adegan jatuh dan Mawar betul-betul jatuh,” katanya.

Dalam drama itu juga Shuhaimi mengambil pelakon baru, Nazirul Mubin sebagai hero. Sebelum ini Nazirul pernah beberapa kali bekerja dengan Shuhaimi antaranya dalam drama Lara Cinta Ameena dan Imankan Aku.

“Nazirul pelakon yang bagus, ada rupa dan bakat. Dia ada ciri-ciri untuk jadi hero dan saya sanggup mengambil pelakon baru sepertinya untuk menerajui drama arahan saya kerana dia masih boleh dibentuk.

“Industri seni negara perlukan pelapis baru supaya corak lakonan sentiasa berubah dan tidak statik. Kita ada ramai pelakon baru berbakat tetapi kita kenalah beri panduan lakonan kepada mereka,” katanya.

Barisan pelakon lain ialah Datuk Eizlan Yusuf, Feina Tajudin dan Raja Azura. Cinta Bersegi-Segi akan ditayangkan di TV9, jam 8.30 malam ini.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 12:58pm
d