rap

Peluang kedua

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Memulakan langkah dalam bidang muzik menerusi Akademi Fantasi musim ketiga (AF3), rezekinya tidak berpanjangan apabila kecundang pada konsert minggu kelima.

Namun, kemenangannya di AF Megastar dengan gelaran Megastar menjadi peluang kedua buat Idayu untuk menggapai impian mengukuhkan kedudukan dalam industri hiburan tanah air.

“Syukur rezeki bergelar Megastar berpihak kepada saya,” katanya.

Mengulas persembahannya pada pentas akhir, Idayu berkata, dia berpuas hati dapat menjadi diri sendiri sepanjang beraksi.

“Pada awalnya saya terfikir adakah pemilihan lagu My All nyanyian asal Mariah Carey itu tepat. Namun, rasanya itulah yang terbaik untuk pentas akhir.

“Saya cuba sampaikan lagu ‘berhantu’ itu dengan cara tersendiri dan menjadi diri sendiri di atas pentas,” katanya.

Pada segmen kedua, Idayu mengalunkan lagu baru berjudul Selamanya ciptaan Amylea Azizan.

“Amylea kawan rapat saya sejak AF3 lagi. Sebenarnya, ada dua lagu yang ditawarkan kepada saya. Satu lagi lagu adalah ciptaan suami saya sendiri.

“Namun, saya memilih untuk menyanyikan lagu ciptaan Amylea,” katanya.

Ditanya mengenai permainan emosi yang disuntik ketika menyampaikan lagu kemenangan itu, Idayu mengakui ia ada kaitan dengan dirinya.

“Ketika Amylea meminta pendapat saya mengenai lagu, saya meletakkan beberapa kriteria antaranya menyelitkan pengalaman hidup dan perjalanan karier saya sebagai anak seni.

“Memang agak beremosi dan harapnya persembahan saya itu sampai tepat ke hati setiap yang menonton dan mendengar,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya untuk kelangsungan karier, Idayu berkata, biaralah semuanya berjalan lancar dan dirinya diterima baik semua pihak.

“Kalau boleh saya mahu hasilkan album dan lagu saya dimainkan di stesen radio seluruh negara. Saya juga teringin membuat persembahan dan muncul di kaca TV,” katanya.

IMEJ PENTING

Selain vokal mantap, Idayu tidak menafikan penampilan dan imej juga memainkan peranan penting buat artis.

“Sebagai artis, orang tentunya mahu melihat visual yang menarik selain keupayaan vokal. Jadi, saya akan berusaha menurunkan berat badan dan tampil lebih menarik di atas pentas,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penampilan, Idayu mengakui dia tidak mengalami kesukaran untuk menurunkan berat badan.

“Berat badan saya mudah turun. Jadi, tak ada masalah cuma kena pastikan ia berkekalan.

“Bukanlah untuk kelihatan lebih cantik atau apa tetapi ia penting buat keselesaan ketika menjayakan persembahan. Pun begitu, tak perlu sampai kurus kerana ia akan mengganggu kemampuan vokal saya,” katanya.

Ditanya mengenai jolokan Mariah Carey Malaysia, Idayu tidak melihatnya sebagai satu beban, sebaliknya menjadikan ia pemangkin semangat buat dirinya.

“Baguslah kalau orang masih melabelkan saya Mariah Carey Malaysia. Siapa yang tidak bangga kalau disamakan dengan penyanyi antarabangsa terkenal itu,” katanya yang menerima tawaran daripada pelbagai syarikat rakaman dan masih mempertimbangkannya.

Selain Idayu yang berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000, trofi sumbangan Astro serta pakej percutian ke Turki untuk dua orang, pentas AF Megastar turut menampilkan empat peserta akhir iaitu Bob, Marsha, Syamel dan Shahir.

Syamel yang menyampaikan lagu Seniman Menangis nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dan lagu baru Biar Cinta dipilih sebagai pemenang Anugerah The Ultimate Performer, sekali gus layak membawa pulang baucar kad hadiah elektronik (e-gift card) bernilai RM3,000.

Seorang lagi finalis, Marsha yang mepersembahkan lagu saduran Pilihlah Aku (Krisdayanti) dan lagu baru berjudul Hilang pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima Anugerah Terlajak Laris De’ Herbs serta berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Finalis lain iaitu Bob mempersembahkan lagu Bukan Dia Tapi Aku (Judika) dan lagu baru berjudul Terbuang Dalam Pelukan manakala Shahir pula hadir dengan lagu Tapi Bukan Aku (Kerispatih) dan lagu baru, Mama Jangan Pergi.

Konsert akhir AF Megastar yang diacarakan Datuk Aznil Haji Nawawi diadili juri tetap Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat manakala Datuk Awie diundang selaku juri jemputan.

Sebelum itu, pentas konsert akhir dibuka dengan persembahan bertenaga SonaOne dan Joe Flizzow menerusi lagu Apa Khabar serta Havoc.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan Alif Satar menerusi lagu Sesungguhnya Aku.

AF Megastar menggunakan format permarkahan 60 peratus daripada juri dan 40 peratus menerusi undian SMS serta secara ‘online’ di laman web AF Megastar.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 1:59am
d