rap

Konsert Khai Bahar ditunda

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular Khai Bahar terpaksa membatalkan konsert anjuran kelab peminatnya di Hong Kong pada 15 Oktober lalu berikutan amaran ribut taufan yang dikeluarkan pada hari sama.

Khai, 23, berkata konsert itu ditunda pada Mac tahun depan dan bakal diadakan di lokasi sama di Southorn Stadium, Hong Kong.

"Alhamdulillah, tiket konsert terjual 1,500 keping. Cuma, saya sedih kerana tidak dapat menghiburkan mereka seperti dijanjikan. Saya sudah bersiap sedia untuk membuat persembahan, tiba-tiba siren amaran dibunyikan.

"Kesemua peminat yang berada di stadium pula tidak dapat keluar. Selepas beberapa jam, ada peminat terpaksa pulang namun masih ramai yang sanggup menunggu.

"Bagi tidak menghampakan, saya tetap pergi bertemu mereka. Saya sempat meluangkan masa dan keluar berjalan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Khai, pembeli tiket terdiri daripada peminatnya yang datang dari Singapura dan Macau selain rakyat Indonesia yang menetap di Hong Kong.

"Konsert ini tetap diteruskan. Jadi, kepada yang sudah membeli tiket mereka boleh menggunakan tiket sama pada tahun hadapan.

"Masalah yang timbul bukan berpunca daripada mana-mana pihak sebaliknya kerana amaran membabitkan keselamatan," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 7:01pm
d