rap

Abu pentaskan teater komedi

Oleh HM Digital

Genre komedi sering mendapat tempat dalam kalangan peminat teater di Pulau Pinang.

Bekas peserta Maharaja Lawak Mega, Abu Mamu memilih mementaskan teater komedi berjudul Mamu Popia Mami Dalcha yang akan berlangsung di Dewan Sri Pinang, Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, Pulau Pinang jam 8.30 malam esok.

Abu yang aktif dengan aktiviti teater di Pulau Pinang berkata, teater itu diinspirasikan daripada telefilem Anak Mamak Menantu Mami yang popular di saluran Astro Prima satu ketika dulu.

“Ceritanya sangat menarik dan ini membuatkan saya berminat kembangkannya dalam bentuk teater pula. Peminat pasti terhibur kerana banyak lagi isu menarik yang boleh dikupas.

“Jiwa saya sememangnya dekat dengan teater dan akan pastikan supaya dapat buat teater saban tahun kerana kepuasan yang diperoleh sukar digambarkan,” katanya.

Menurutnya, genre komedi bukanlah asing dengannya.

Namun, kali ini dia cuba menampilkan kelainan supaya persembahannya lebih menghiburkan.

“Kelainan teater kali ini ialah dari segi genrenya. Saya membawa genre eksperimen komedi muzikal (ala-ala muzikal).

“Jadi, sambil menonton peminat akan menyukai lagu yang ditampilkan di dalamnya,” katanya.

Walaupun dibuat dalam bentuk komedi, teater ini mengangkat tema kekeluargaan dan nilai murni yang patut ada dalam sesebuah keluarga.

Ia mengisahkan kehidupan keluarga Mamu Popia yang dilanda pelbagai konflik. Bagaimanapun, dengan muafakat dan pertimbangan sewajarnya, segala konflik dapat diselesaikan dengan baik tanpa masalah.

Mamu Popia Mami Dalcha menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Mamak Puteh, Wan Raja, Danial Lawak Solo, Ropi, Mamak Kwang Soo (Era FM), Chik Pak Man Telo dan ramai pelakon hebat dari Pulau Pinang.

Abu berkata, dia menyasarkan penduduk di kawasan utara untuk sama-sama menonton kerana ia sangat signifikan dengan kehidupan seharian mereka.

“Saya berharap peminat hadir beramai-ramai menonton kerana belum pernah ada teater komedi muzikal sebegini yang belum dipentaskan di utara,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM25 dan RM30 dan maklumat boleh diperoleh menerusi Facebook Persatuan Teater Resdong’s Pulau Pinang.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 2:54am
d