rap

'Emma masih marah saya, tapi kami okay'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

HUBUNGAN pasangan pelakon Kamal Adli dan Emma Maembong yang sebelum ini berantakan kembali jernih.

Kamal ketika dihubungi berkata, keadaan dingin yang dihadapi sebelum ini sudah menunjukkan sedikit perubahan.

“Namun, saya tahu Emma masih marahkan saya. Jadi, biarlah saya memberinya sedikit ruang. Apapun, saya bersyukur Emma sekarang ini sudah mula menunjukkan perubahan dan tidak lagi dingin terhadap saya seperti sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, heboh mengenai hubungan mereka dikatakan tegang yang dikatakan turut membabitkan pelakon jelita, Zahirah MacWilson.

Bagaimanapun, Emma yang sebelum itu dikatakan mahu memutuskan hubungan dengan Kamal kenyataan itu timbul ketika dia berasa dalam situasi yang ‘sakit’ dan marah.

Ditanya mengenai tindakan Zahirah menyalahkannya dalam kemelut hubungannya dengan Emma dan memuat naik perbualan mereka di Instagram baru-baru ini, Kamal berkata, dia tidak faham dan keliru dengan tindakan Zahirah itu.

“Sebelum ini, saya, Emma, Zahirah dan kekasihnya, Zul Ariffin sudah bertemu. Kami sudah mencapai kata sepakat dan tidak akan ada isu berbangkit selepas itu. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya sudah memohon maaf kepada semua pihak.

“Apabila memberikan kenyataan kepada media, saya sudah menegaskan awal-awal lagi bahawa jangan kaitkan nama Zahirah kerana semuanya salah saya. Apa yang penting bagi saya masalah dapat diselesaikan dan saya sendiri mahu menyelamatkan hubungan dengan Emma,” katanya.

Kamal berkata, dia tidak faham kenapa Zahirah mahu mengeruhkan lagi hubungannya dengan Emma.

“Kami memang tidak curang dengan pasangan masing-masing. Malah, hubungan dia dengan Zul juga tiada masalah. Mengapa dia tidak cuba membantu dan melakukan perkara sama seperti yang saya lakukan terhadap hubungan dia dengan Zul,” katanya.

Sementara itu, Kamal turut berdepan satu lagi dugaan apabila motosikal berkuasa tinggi miliknya hilang malam semalam.

Kamal berkata, dia menyedari motosikal jenis Aprilia Shiver yang diletak di depan rumahnya itu hilang, pagi hari ini.

“Saya memang selalu meletakkan motosikal itu di situ. Nampaknya memang bukan rezeki saya apabila ia dilarikan orang,” katanya yang turut membuat laporan polis hari ini.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 8:06pm
d