rap

Tai tak merajuk

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

Agak lama tidak mendengar cerita pelakon Taiyuddin Bakar, 34, yang cukup popular dengan ‘tagline’ Apa Celop Toq suatu ketika dulu.

Ada beranggapan, pelakon berbakat besar yang sinonim dengan watak komedi itu sudah bersara. Tidak ketinggalan ada menganggapnya merajuk dengan industri kerana kecewa dengan sikap segelintir produser yang tidak menghargai bakatnya.

Bagaimanapun, Taiyuddin atau Sallehuddin Abu Bakar ketika dihubungi baru-baru ini menafikan dirinya meninggalkan dunia seni serta merajuk dengan industri.

Katanya, agak menghairankan juga jika ada yang beranggapan begitu kerana kali terakhir dia berlakon dalam filem Radhi, Rudy Bin Dadu dan Last Kopek Havoc pada 2016.

“Saya tidak pernah berhenti atau merajuk dengan industri. Jujurnya, saya rindu untuk kembali beraksi di set lakonan tapi saya harap ceritanya lebih serius, bukan terlalu komedi seperti dulu.

“Ada juga saya intai peluang sebab teringin bermain dengan naskhah yang lebih besar. Kali terakhir melalui telefilem Tuli Sekampung kira-kira dua tahun lalu. Walaupun ia genre komedi tapi penyampaiannya agak ‘gelap’,” katanya.

Katanya, tawaran berlakon pada masa ini lebih kepada muncul untuk kameo dan artis tamu sahaja. Bagi menunjukkan masih terbabit dalam lakonan, dia akan cipta kesedaran melalui perkongsian gambar atau video sedang bekerja di set penggambaran di laman sosialnya.

Tanpa berselindung, Tai mendakwa pernah berdepan situasi namanya digugurkan dari senarai pelakon drama atau telefilem baru di stesen TV tertentu atas sebab yang tidak diketahui.

Katanya, dia pelik walaupun nama didakwa digugurkan, drama dan filem lakonannya tetap ditayangkan berulang kali di stesen TV.

Ada juga dakwaan, situasi itu berlaku kerana penampilannya yang berjanggut dan berkopiah membuatkan ia tidak sesuai dengan imej siaran di stesen TV.

Apa saja alasan diberikan pihak-pihak terbabit, Tai melihat situasi dilaluinya dari sudut positif. Katanya, rezeki milik Allah dan hanya berusaha serta terus berharap peluang berlakon masih ada untuknya.

“Bagi saya situasinya sama seperti pelakon wanita lain yang berhijab tetapi masih diberi peluang berlakon seperti biasa,” katanya tenang.

Mula berlakon filem Libas pada 2011, Tai juga pernah berlakon filem Hantu Bonceng, Apa Celop Toqq, Pe3, Mael Lambong dan Gila-gila Remaja 2.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Tai kini fokus kepada bisnes pembuatan kopiah dan wangian gaharu menggunakan jenama By.TaiyuddinBakar di laman sosial Instagram dan Facebook.

Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) menerusi filem Hantu Bonceng itu sesekali turut melakukan kerja-kerja produksi menerbitkan program berbentuk majalah dan dokumentari untuk beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, dia ada juga pergi ke beberapa uji bakat rata-rata untuk pementasan teater tetapi kebanyakannya agak mengecewakan kerana produksi beranggapan namanya terlalu gah untuk uji bakat.

Tai berpendapat, mungkin mereka berasa segan untuk mengujibakatnya walhal proses uji bakat sangat penting walaupun seseorang anak seni itu mempunyai pengalaman dalam industri.

Proses itu termasuklah ketika mendapatkan pelakon baru sesebuah produksi drama atau filem.

Selain itu, Pengarah Terbaik di Festival Teater Kuala Lumpur 2005 baru saja mendapat peluang duduk di kerusi pengarahan untuk projek telefilem selepas membuktikannya melalui beberapa projek pengarahan komersil dan iklan pendek, sebelum ini.

Katanya, selepas menghasilkan iklan pendek 30 saat dia mendapat tawaran dari syarikat produksi untuk mengarah telefilem sulung.

“Jujurnya saya gementar dan bimbang sebab sedar pasaran permintaan jenis cerita di stesen TV berbeza berbanding dulu. Pada masa ini, saya masih memperincikan tawaran itu dari pelbagai sudut,” katanya.

Tai juga berkongsi pendapat serta sokongannya kepada segelintir persatuan dan individu yang menjalankan misi kemanusiaan membantu kru dan pelakon lama serta baru yang berdepan masalah dalam hidup mereka.

Katanya, usaha itu menunjukkan masih ada sisi kemanusiaan dan persaudaraan dalam industri hiburan tanah air.

Untuk itu, dia melalui beberapa penerbitan program majalah turut ketengahkan isu itu sebagai tanda sokongan kepada mereka yang terbabit.

Terbaru, selepas mengacara program majalah Alif, Ba, Ta... Duniaku, Tai bakal terbabit dalam satu program majalah baru tidak lama lagi.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 1:42pm
d