rap

'Saya bersedia mendirikan rumah tangga tapi...'

Oleh Najiy Jefri

PELAKON, Kamal Adli bersyukur dan gembira dengan kehadiran Emma Maembong di Super Spontan Superstar 2017, malam tadi, kerana ia memberi harapan untuk memulihkan hubungan mereka.

"Saya tahu dia masih marah dan kami dalam proses memperbaiki hubungan.

"Saya faham perasaannya apabila ada orang mendakwa teman lelakinya terhegeh-hegeh dengan perempuan lain.

"Saya minta agar semua pihak jangan salahkan Emma. Dia ada hak untuk rasa begitu selepas isu ini menjadi semakin rumit. Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka kepada Emma dan dia tidak bersalah dalam hal ini," katanya.

Menurutnya, menolak tanggapan yang mendakwa kontroversi itu berpunca daripada ketidakseriusan dia menjalani perhubungan.

"Kalau saya nak main-main, mungkin saya akan berganti teman wanita setiap tahun, tetapi kenapa perhubungan saya dengan Emma hampir memasuki tahun keempat.

"Saya memang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Duit untuk kahwin juga sudah ada dan keluarga bersetuju dengan hasrat kami. Tetapi masih ada perkara yang menyebabkan saya perlu menangguhkan hasrat terbabit. Perkara ini sukar saya jelaskan ketika ini," katanya.

Dalam masa sama, Kamal mengakui kecewa dengan tindakan Zahirah McWilson yang mendakwa dia menipu seperti dimuat naik di Instagram pelakon itu.

"Sepanjang memberi kenyataan kepada media, saya tidak pernah menyebut nama Zahirah. Saya bukan nak cari kesalahan Zahirah tetapi apa saya beritahu sebelum ini adalah untuk membetulkan cerita sebenar kerana kesannya adalah kepada hubungan saya dan Emma manakala dia dan Zul Ariffin masih seperti biasa.

"Kalau nak tunjuk bukti memang banyak tetapi tidak perlu saya buat begitu kerana ia akan menyebabkan isu ini berpanjangan manakala tujuan saya hendak tamatkannya. Lagipun ia tidak menampakkan saya matang menangani isu ini," ujarnya.

Kamal berkata, setiap kata-kata yang dikeluarkan Zahirah di Instagram adalah mengarut dan sengaja memburukkan namanya sedangkan apa yang berlaku sudah lama selesai dan tiada apa yang perlu diperbesarkan.

"Dia lupa bahawa saya sudah lama dalam industri seni sedangkan dia baru setahun jagung.

"Apa yang membuatkan saya lebih kecewa terhadapnya adalah sehari sebelum dia memuat naik perbualan WhatsApp di Instagram, dia meminta Emma untuk sama-sama menyerang saya bagi menampakkan saya bersalah. Emma sendiri memberitahu saya rancangan Zahirah dan Emma sedar ada benda yang tidak kena. Saya tidak faham mengapa dia perlu merosakkan hubungan kami.

"Saya harap dia berhenti memberi kenyataan yang tidak masuk akal. Pertemuan sebanyak tiga kali dengan dia dan Zul Ariffin sudah cukup menjelaskan bahawa kami tidak pernah mempunyai hubungan dan tiada apa yang perlu diperbesarkan," katanya.

Sementara itu, Zahirah tidak berpuas hati dengan kenyataan Kamal apabila menganggap kenyataan pelakon itu hanya mahu menyelamatkan diri.

Zahirah berkata, dia mempunyai bukti yang cukup berkaitan tuduhan aktor terbabit.

"Saya sudah tahu mengenai kenyataan itu dan tidak mengapa.

"Bukti semua sudah ada, dia boleh bercakap apa yang dia mahu. Dah petik nama orang, dia perlu selamatkan diri dia juga," tulisnya menerusi Instagram hari ini.

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 5:57pm
d