rap

Azmil Mustapha okay

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“ALHAMDULILLAH, dia semakin pulih dan semakin ceria. Dia memerlukan sedikit lagi masa untuk kembali pulih sepenuhnya. Abang saya dirawat dengan baik oleh doktor," kata Aziph Mustapha mengenai abangnya, Azmil Mustapha, 64, yang juga pelakon popular era 1980-an yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur semalam selepas dilaporkan sukar bernafas akibat paru-paru berair.

Aziph ketika dihubungi berkata, pagi semalam Azmil menghadiri mesyuarat bersama beberapa rakannya.

“Dia nampak penat dan salah-seorang rakan membawanya ke PPUM untuk rawatan lanjut pada jam 12.30 tengah hari dan dia seterusnya dimasukkan ke unit kecemasan.

“Dia kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Menurut Aziph, abangnya juga tidak mahu diganggu dan perlu diberi sedikit ruang untuk kembali sihat.

“Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak henti-henti mendoakan kesihatan dan kesejahteraan abang saya.

“Namun, kami meminta sedikit privasi supaya dia dapat berehat dengan aman sehingga pulih sepenuhnya, Insya-Allah," katanya.

Bintang filem yang popular menerusi filem Mekanik, Ali Setan serta Suara Kekasih bergandingan dengan Fauziah Ahmad Daud ini pernah mengalami masalah jantung sejak setahun lalu tetapi keadaannya baik.

Azmil juga pernah dilaporkan kritikal akibat masalah jantung dan dirawat di Unit Rawatan Kardiologi, Hospital Putrajaya awal tahun ini.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya kembali stabil selepas menerima rawatan rapi.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 7:19pm
d