rap

Kehidupan selepas ghaib

Oleh Michelle Gun

Musim baru siri fiksyen sains seram, Stranger Things 2 sarat dengan babak mencemaskan, drama, romantis, kemunculan raksasa dan karakter baru.

Gadis psikokinetik bernama Eleven masih hidup manakala makhluk dari dunia Upside Down yang ditemui saintis makmal Hawkins mula mengganas.

Pendek kata, kisah musim kedua Stranger Things bertambah baik dari musim lalu kerana plot cerita dan setiap watak berkembang.

Masih mengekalkan barisan pelakon asalnya, siri baru ini mengetengahkan kehidupan karakternya setahun selepas kejadian ghaib di bandar Hawkins, Indiana.

Ketika semua orang menyangka Eleven sudah mati, gadis itu sebenarnya masih hidup dan berada di tempat selamat.

Pada masa sama, kehidupan Will Byers mula terjejas apabila dia sering mengalami halusinasi serangan raksasa hitam di dunia Upside Down.

Di sekolah pula, kehadiran pelajar perempuan baru mencuri perhatian Will dan rakannya yang menyangka dia pemain arked handal.

Sementara itu, Dustin Henderson menemui sejenis haiwan amfibia pelik yang dipercayai ada kaitan dengan makhluk hitam dalam halusinasi Will.

Kejadian aneh di bandar Hawkins berterusan dengan ratusan buah labu di sebuah ladang ditemui reput dalam keadaan pelik.

Siasatan Ketua Polis Hawkins Jim Hopper kemudian merungkai terdapat terowong misteri di bawah ladang labu berkenaan.

Kekasih Joyce Byers, Bob pula terkorban selepas makhluk menyerupai anjing menyerangnya di makmal.

Dengan semua sembilan episod Stranger Things 2 boleh disaksikan di aplikasi Netflix, pastinya penonton mempunyai banyak persoalan yang mungkin akan dijawab dalam musim ketiga.

Antara persoalan ditimbulkan penonton adalah Dr Brenner yang tidak muncul dalam musim kedia Stranger Things.

Barisan pelakon adalah Winona Ryder, David Harbour, Finn Wolfhard, Millie Bobby Brown, Gaten Matarazzo, Caleb McLaughlin, Noah Schnapp dan Joe Keery.

Musim pertama Stranger Things lebih menumpukan siasatan kehilangan remaja Will Byers, kehadiran gadis psikokinetik yang menarikan diri lari makmal ujian serta kejadian luar biasa di Hawkins.

Dua musim siri Stranger Things kini boleh disaksikan di aplikasi Netflix.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 4:08am
d