rap

Isteri Zack Kool kemalangan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ISTERI kepada pelakon dan penyanyi, Zack Kool, 48, cedera di bahu selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Galloway, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Zack yang juga Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata, akibat kejadian itu, isterinya Nur Ziyani Mohd Jilani, 39, turut tidak sedarkan diri selain tulang bahunya retak serta mengalami kecederaan belakang (slip disc).

Menurut Zack, ketika kejadian isterinya yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabas akibat jalan yang licin disebabkan hujan.

“Ketika itu saya sudah tiba di pejabat di Jalan Raja Laut sebelun dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh adik ipar,” katanya kepada Harian Metro.

Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati isterinya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di tengah jalan.

“Mujur ada beberapa anggota polis yang tiba dan mengawal lalu lintas di kawasan itu. Saya terus mendapatkan isteri dan memeriksa degupan jantungnya. Saya lega apabila mendapati keadaannya stabil.

“Anggota polis terbabit memaklumkan mereka sudah menghubungi ambulan, tetapi kerana bimbang menunggu terlalu lama, saya menahan teksi dan terus membawa isteri ke pusat perubatan di Jalan Ampang,” katanya.

Menurut Zack, isterinya masih dirawat di hospital dan doktor belum memaklumkan bila dia dibenarkan pulang.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 7:07pm
d