rap

Hero Oven kembali bersiaran

Oleh Michelle Gun

Program realiti masakan menampilkan peserta jejaka tampan, Hero Oven kembali dengan musim kedua yang akan ke udara mulai Ahad ini, jam 11.30 pagi di saluran TV3.

Seramai 12 peserta berusia 20 hingga 35 tahun bakal mempamerkan kemahiran masing-masing menyediakan hidangan enak dan menarik menggunakan oven.

Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, peserta selain memiliki personaliti menarik perlu bijak memikat hati penonton dan juri.

“Matlamat program realiti ini adalah melahirkan pakar manisan berkarisma, oleh itu kemahiran seperti ini sangat penting.

“Pada masa sama, mereka perlu menguasai teknik betul mengenai penyediaan manisan kerana bakal berdepan pelbagai cabaran di dapur,” katanya.

Siti Nurlisia berkata, bagi cabaran kreativiti, peserta wajib menggunakan satu bahan rahsia dalam hidangan.

“Mereka akan diberi tugasan untuk menyediakan beberapa jenis manisan seperti makarun, kek Opera dan kuih-kuih tradisional dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, hanya enam peserta terbaik akan bertanding di peringkat separuh akhir dan mereka dikehendaki berkerjasama secara berkumpulan bagi memasuki final.

“Episod akhir Hero Oven akan menampilkan 4 peserta terbaik dan mereka perlu menyediakan tiga jenis manisan mengikut tema diberikan,” katanya.

Hero Oven musim kedua dihoskan oleh Cef Fikree Aznan dan Chef Sarah Samsul Ariffin.

Antara juri jemputan pula ialah Sherry Al Hadad, Lana Nordin, Cef Naem, Sherson, Cef Nazeri dan Cef Jasman.

Program ini boleh disaksikan menerusi laman web portal video nombor satu Malaysia, Tonton, www.tonton.com.my.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 6:53am
d