rap

Tombiruo ke Amerika Syarikat

Oleh Georgie Joseph

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba terus mencatat kutipan membanggakan apabila mencecah lebih RM7 juta sejak ditayangkan 12 Oktober lalu dan kini dijual ke pasaran antarabangsa di acara American Film Market (AFM).

Filem itu dipilih ejen penjualan filem antarabangsa iaitu Alliance Media Partners (AMP) International Ltd berdasarkan keunikan serta potensi karya arahan Seth Larney berkenaan diterima penonton secara global.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar bukan di AFM sahaja bahkan filem itu juga akan memasuki pasaran Eropah tahun depan.

“Ini adalah kerjasama pertama AMP dengan penerbit dari Malaysia di mana ejen terbabit cukup berpengaruh dalam pasaran antarabangsa. AMP bakal menjadi ejen kami untuk menjual filem Tombiruo di pelbagai negara selepas ini.

“AFM yang berlangsung di Santa Monica, California, Amerika Syarikat adalah acara pertama untuk filem ini dijual dan tahun depan ia akan dijual di Eropah pula,” katanya.

Mengulas lanjut kerjasama itu, Najwa berkata filem terbabit mendapat perhatian berikutan kelainan yang ditampilkan.

“Saya percaya keunikan adiwira tempatan dapat menarik perhatian penonton antarabangsa.

“Selain itu, mutu produksi turut menjadi faktor penarik utama filem ini kerana ia setaraf karya antarabangsa. Kesimpulannya, Tumbiruo naskah yang boleh diterima secara global,” katanya.

Tombiruo: Penunggu Rimba yang dibintangi Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Hasnul Rahmat memaparkan kisah Ejim dianggap penunggu rimba kerana rupanya yang jauh berbeza daripada manusia biasa.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 7:00pm
d