rap

Cinta lokasi perlu keikhlasan

Oleh Najiy Jefri

Cinta lokasi satu perkara biasa dalam industri hiburan tanah air.

Apabila pelakon bertemu di lokasi penggambaran, membawakan watak masing-masing dengan jalan cerita yang sudah ditentukan, ada ketikanya terbit rasa suka.

Sudahnya apa yang dilakonkan itu benar-benar menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi apabila ia mengisahkan perihal cinta antara dua insan.

Bagaimanapun, hubungan cinta lokasi ini ada juga berakhir dengan perpisahan apabila hero atau heroin itu sudah tidak dapat meneruskan hubungan yang berputik ketika membintangi drama dilakonkan.

Padah menimpa apabila hubungan yang mulanya mekar bertukar duka selepas berlaku perselisihan faham atau sekadar dilakukan untuk melariskan drama.

Kelmarin berlangsungnya program Cuit Sikit yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook rasmi Harian Metro, mengetengahkan topik Bahana Cinta Lokasi.

Studio dihangatkan dengan kehadiran pasangan selebriti yang menyulam cinta di lokasi iaitu Awal Ashaari dan Scha Al Yahya.

Awal mengakui mengenali Scha ketika sama-sama mengendalikan program Sehati Berdansa terbitan Astro tidak lama dulu.

Mengupas isu bahana cinta lokasi, Awal ada pandangan tersendiri. Dari sudut positif, Awal melihat kisah cinta yang dijaja sehingga di luar set boleh menjadi satu bentuk promosi kepada sesebuah naskhah.

Bukan itu sahaja, perasaan cinta yang lahir itu juga sebenarnya dapat membantu pelakon menghayati watak yang digalas dengan lebih baik dan tampak lebih natural.

“Insiden cinta lokasi sebenarnya perkara klise. Ramai hero dan heroin bercinta hingga di luar set. Lebih menarik perhatian, kalau pelakon yang terbabit itu masih bujang, kecenderungan untuk berlaku cinta lokasi itu tinggi.

“Perkara ini memang tidak boleh dikawal. Apa tidaknya, dengan jadual tuntutan kerja yang padat, mereka pasti banyak menghabiskan masa bersama-sama di set penggambaran.

“Sehinggakan, peminat sendiri yang terbawa-bawa perasaan mahu lihat pelakon kesayangan mereka menzahirkan apa yang dipaparkan di kaca televisyen ke dunia nyata,” katanya.

Menurut Awal lagi, ada juga pelakon sengaja memikat rakan gandingan tanpa ada perasaan cinta.

“Sepanjang hampir 14 tahun dalam industri, saya lihat ada pelakon yang sengaja mencuba nasib dengan memikat rakan gandingannya untuk melihat sejauh mana pasarannya. Jadi faktor itu juga boleh mendorong berlakunya cinta lokasi,” katanya.

Bagi Scha pula, perasaan sukar dikawal apabila ada keinginan untuk mengenali hati seseorang.

“Apabila membabitkan perasaan, susah nak dikawal. Jadi mental perlu kuat jika mahu berlakon dengan gandingan yang mempunyai ciri pilihan hati.

“Percayalah jika ikut setiap kemahuan hati pasti kita akan hanyut,” katanya.

Ditanya bagaimana dia berdepan isu ini, Scha berkata, barangkali status dirinya sebagai seorang isteri dan ibu membuatkan penonton sedar akan batas yang ada.

Sebagai seorang isteri, Scha meletakkan had setiap kali digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki.

“Kadang-kadang apabila penonton menonton drama, peminat mahu lihat hero dan heroin betul-betul bercinta sehingga terlupa apa yang mereka lihat itu hanyalah sekadar lakonan.

“Perkara itu tidak terjadi kepada saya. Mungkin kerana penonton sedia maklum saya isteri orang dan sudah ada anak. Jadi, tidak muncul gosip atau desakan seperti yang dilalui pelakon lain,” katanya.

Program Cuit Sikit yang bersiaran setiap Rabu, jam 9 malam ini mengetengahkan lima segmen iaitu Isu Cuit Sikit, 5 Kebaboom, Apa Kata, Cik Pang dan Akustika.

Program berbentuk bual bicara santai ini menampilkan tiga wartawan Harian Metro iaitu Sudirman Mohd Tahir, Najiy Jefri dan Georgie Joseph selaku pengacara.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 5:39am
d