rap

Saingan sengit berakhir malam ini

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Anugerah Skrin (ASK) 2016 menyaksikan drama Fatin diangkat sebagai Drama Terbaik. Tahun ini sebanyak 18 telefilem bersaing merebut kategori utama itu.

Sesuai dengan tema Mencetuskan Fenomena, penganjuran ASK 2017 yang berlangsung malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menyaksikan pencalonan karya terbaik yang ditayangkan sepanjang tahun ini di beberapa stesen TV antaranya TV3, TV9, RTM dan Hypp TV.

Antara telefilem yang dipertandingan ialah Dalam Kasut, Hayat, Mak Tak Bagi Balik, Trauma, Terima Kasih Ramadhan, Yang Terakhir Untukku, Kapcai Ayah, Petanda dan Saling.

Selain itu, Mengharap Sebuah Keredhaan, Stesen, Serondeng, Sampan Seringgit, Kapur Kuning Buat Puteh, Kembali Kepada Fitrah, Pesan Dari Tuhan, Ibuku Syurgaku, Tetamu Allah, Cinta Khodi dan Menantu Material.

Pengarah Penjenamaan, Kandungan Dan Strategi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Sherina Nordin berkata, tema itu dipilih sebagai satu usaha memartabatkan pengorbanan penggiat seni.

“Tahun ini, kali pertama kami menayangkan drama tercalon dari rakan stesen televisyen lain seperti RTM dan Hypp TV. Ia sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang banyak berkorban untuk menghidupkan dan mengangkat martabat karya seni tanah air.

“Ini antara kelainan besar yang diketengahkan dalam ASK 2017 dan berharap agar inisiatif ini mendapat sokongan padu daripada masyarakat tempatan.

“Tema yang dipilih juga sebagai satu usaha memartabatkan setiap pengorbanan yang dilakukan oleh penggiat seni tidak kira di hadapan atau di belakang tabir. Terima kasih kepada stesen TV yang menyokong anugerah ini dengan menghantar pencalonan,” katanya.

Daripada senarai pencalonan itu, telefilem Trauma arahan Azman Yahya, Mengharap Sebuah Keredhaan (Sabri Yunus) dan Pesan Dari Tuhan (Erma Fatima) antara yang dijangka menang besar pada ASK 2017.

Trauma terbitan JS Pictures Sdn Bhd membariskan beberapa pelakon hebat seperti Janna Nick, Saharul Ridzwan, Zara Zya, Dayana Roza, Idris Khan dan Raja Afiq.

Azman atau Jinggo berkata, Trauma mempertaruhkan jalan cerita dan lakonan berkualiti.

“Sebenarnya pembikinan telefilem ini tak menguntungkan saya. Kebanyakan kos habis untuk bayaran pelakon. Kali ini saya mempertaruhkan kualiti jalan cerita dan lakonan mereka. Tak untung tak apa, asalkan kami puas hati.

“Mereka yang pernah bekerja dengan saya dan syarikat ini sudah maklum mengenai cara kami bekerja. Kalau ditegur pun mereka okey. Jadi, apabila memilih mereka yang pernah bekerja dengan kami, ia lebih membantu. Contohnya Zara, saya tak perlu bimbang kerana dia pelakon yang bagus dan berkualiti.

“Selain itu, semua pelakon ini sedang meningkat naik dan menjadi pilihan kebanyakan stesen TV dan penerbit. Pendek kata mereka pelakon yang laris,” katanya.

Telefilem itu mengisahkan enam sekawan iaitu Roza lakonan Janna Nick, Budin (Saharul Ridzwan), Haneem (Zara Zya), Edi (Idris Khan), Faz (Raja Afiq) dan Jaja (Dayana Roza) yang saling mengenali melalui laman sosial ‘chatroom’.

Mereka ada satu persamaan iaitu pernah mengalami trauma dalam hidup. Mereka memutuskan untuk bertemu dan pergi bercuti bersama.

Roza menawarkan diri menjadi penganjur percutian itu. Ketika mahu mengambil kunci rumah sewa daripada jiran, dia ditegur dengan satu pepatah iaitu ‘adakah buaya menolak bangkai’.

Malah, seorang demi seorang yang masuk ke dalam pagar rumah terbabit ditegur oleh jiran sama dengan pepatah yang berbeza.

Selepas seorang demi seorang meninggal dunia dalam keadaan mengejutkan, sehingga Budin dan Jaja saja yang tinggal.

Bagi pengarah tersohor Erma Fatima pula, pencalonan Pesan Dari Tuhan dianggap berbaloi selepas dua tahun diperam.

Naskhah yang membariskan pelakon hebat seperti Ellie Suriati, Azhan Rani, Remy Ishak dan Izreen Azminda itu ditayangkan pada sambutan Aidilfitri lalu di saluran RTM2.

Mengimbas semula mengenai proses pembikinannya, Erma berkata, sepanjang 13 hari penggambaran ,dia bersama kru produksi berdepan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Dalam tempoh itu, 90 peratus babak adalah dalam suasana hujan. Khidmat bomba digunakan untuk menghasilkan air hujan dan pernah di tengah-tengah penggambaran, air pula habis. Pelakon saya yang kesejukan terpaksa menunggu untuk bomba kembali dengan bekalan air.

“Selain itu, seorang kru saya nyaris dipatuk ular kapak ketika penggambaran di sungai. Ada juga satu lokasi penggambaran kami dimaklumkan penduduk kampung yang kawasan berkenaan ‘keras’. Tetapi saya tetap mahu menjalankan penggambaran di situ kerana semua persiapan sudah dibuat,” katanya.

Pesan Dari Tuhan terbitan Rumah Karya Citra mengisahkan perebutan kuasa dan harta pusaka oleh sebuah keluarga sehingga kampung mereka dilanda musibah.

Sementara itu, Sabri Yunus yang pernah memenangi kategori Pengarah Terbaik menerusi drama Sanggul Beracun pada ASK 2011 menganggap pencalonan telefilem Mengharap Sebuah Keredhaan satu lagi kejayaan dalam kerjaya pengarahannya.

Telefilem yang ditayangkan di TV9 itu membariskan pelakon hebat seperti Namron, Aeril Zafrel, Nad Zainal dan Saidi Sabri.

“Kali pertama menang dahulu, saya tidak menjangka percubaan pertama berhasil sehingga ia diiktiraf sebaik ini. Sehingga sekarang, saya takut dan masih baru di arena ini. Namun saya terfikir mengapa tidak lakukan perkara ini sejak dulu lagi?

“Setiap kali tercalon, saya tidak pernah mengharapkan sebarang kemenangan. Bagi saya tercalon pun sudah berbaloi. Bagi kategori utama ini, semua telefilem yang tercalon berpotensi besar menang.

“Pada ASK kali ini saya turut berharap pelakon telefilem ini juga tercalon dan bawa pulang trofi. Jika menang lagi ia adalah rezeki,” katanya.

Pastinya juga, tiga pengarah daripada telefilem ini turut merebut trofi Pengarah Terbaik. Berdasarkan rekod, Jinggo pernah menang kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik pada ASK 2007 menerusi telefilem Sebuah Ijtihad.

Erma Fatima pula sudah dua kali dinobatkan Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik. Kali pertama pada ASK 1995 menerusi telefilem Ratu Jamu dan Tersasar Di Jalanmu pada ASK 2009.

Pada ASK 2011 pula, Erma memenangi kategori Lakon TV Terbaik menerusi telefilem Air Mata Salina.

Mungkin milik Adiwiraku dan Andainya Takdir

Selain 18 telefilem itu, kategori Filem Terbaik juga turut mencuri tumpuan apabila menyaksikan 13 filem dipertandingkan.

Antara filem terbabit ialah Dorm Melati, J Revolusi, Adiwira Ku, Hospital, Lebuhraya Ke Neraka, Pekak, Volkswagen Kuning, Alif Dalam 7 Dimensi, Zack Kapcai, Rock Bro, Kampung Drift, Soulmate Hingga Jannah dan Bopeng.

Daripada 13 filem itu, tiga filem diramal bakal mendominasi kategori filem berdasarkan pencalonan besar mereka pada Festival Filem Malaysia ke 29 lalu.

Filem Adiwiraku yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada FFM 29 sekali lagi diramal bakal membawa pulang trofi sama. Turut memberi saingan ialah J Revolusi dan Pekak.

Bagi kategori Drama Rantaian Terbaik pula, drama Andainya Takdir lakonan hebat Shukri Yahaya dan Nina Iskandar serta drama 7 Hari Mencintaiku juga lakonan Shukri Yahaya bersama Siti Saleha dijangka bersaing hebat.

Selain dua drama itu, kategori ini turut mempertandingkan 8 lagi drama rantaian terbaik sepanjang tahun ini. Antaranya Amsyar, My Sweet Lavendar, Pergilah Air Mata, Seharum Mawar, Di Sebalik Wajah, Syurgaku Tak Sempurna, Cinta FB dan Mr Stalker...Saya Cintakan Awaklah!

Drama Andainya Takdir terbitan A Aida Production Sdn Bhd diramal menang mudah bagi kategori Drama Rantaian Popular Media Sosial.

ASK 2017 yang ditayangkan secara langsung di TV3 pada jam 9 malam ini menampilkan tiga pengacara iaitu Jihan Muse, Fahrin Ahmad dan Syuk Balas.

Acara berprestij ini turut menampilkan persembahan hebat daripada penyanyi tempatan. Antaranya, Stacy, Akim & The Majistret, Haqiem Rusli, Salam Musik, Nora, Hael Husaini, Ayda Jebat, Black dan Jaclyn Victor.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 5:40am
d