rap

Omar Manan meninggal dunia

Oleh Norhayati Nordin

Pelakon drama era 80-an, Omar Manan, 70, meninggal dunia di Hospital Selayang, 12.40 pagi tadi akibat komplikasi penyakit diabetis.

Allahyarham Omar atau Omar Sudi Abdul Manan mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sejak 14 Mac lalu akibat demam dan sakit perut yang teruk.

Anak sulungnya, Nilly Wahida Omar, 46, penyakit arwah disahkan serius apabila pihak hospital turut mengesan kuman dalam badannya.

"Sejak lapan bulan lalu arwah bapa saya memang menerima rawatan sepenuhnya di hospital itu.

“Sepanjang mendapat rawatan di hospital, arwah ada menunjukkan tanda pemulihan tetapi disebabkan penyakit diabetis dihidapinya, keadaan kesihatan arwah semakin lemah,” katanya.

Menurut Nilly, dia dan seisi keluarga reda dengan pemergian arwah bapa.

“Kali terakhir saya berkomunikasi dengan arwah bapa pada 2 September lalu.

"Ketika itu, saya minta arwah tunggu saya pulang dari luar negara kerana terikat dengan komitmen kerja," katanya.

Dalam bidang lakonan, Omar aktif berlakon drama pada era 1980-an dan awal 1990-an.

Malah, drama Bakat antara yang menaikkan namanya selain beberapa drama lain.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Fauziah Rauf, 69, yang juga bekas wartawan akhbar Utusan Malaysia, empat orang anak serta 13 orang cucu.

Sehubungan itu, Nilly mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerja Hospital Selayang yang banyak membantu menguruskan jenazah arwah bapanya.

Jenazah Omar dibawa pulang ke kediamannya di Selayang pada 4.30 pagi tadi selepas dimandi dan dikafankan oleh pihak pengurusan jenazah hospital.

Jenazah arwah akan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru selepas solat Jumaat.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 3:29pm
d