rap

Lesap lebih RM6,000

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular Azharina mendakwa ditipu syarikat ejen pembantu rumah apabila pekerja wanita yang diserahkan kepadanya tidak kembali bekerja sejak 31 Oktober lalu.

Kejadian itu turut menyebabkan penyanyi itu kerugian lebih RM6,000.

Azharina, 32, berkata, pembantu rumah warga tempatan berusia 54 tahun berasal dari Pasir Gudang, Johor itu mula bekerja dengannya pada 26 September lalu.

“Saya membayar RM4,940 kepada syarikat berkenaan bagi tempoh dua tahun pembantu rumah itu bekerja. Saya juga menandatangani kontrak disediakan.

“Saya juga sudah membayar RM700 untuk kontrak dan RM900 sebagai gaji permulaan pembantu rumah itu,” katanya.

Azharina berkata, selepas sebulan bekerja, pembantu rumah terbabit memaklumkan kepada pengurusnya dia mahu untuk bercuti atas urusan keluarga di kampung.

“Atas dasar perikemanusiaan, saya bersetuju memberikannya cuti. Malangnya, sehingga semalam (kelmarin) dia tidak muncul. Saya cuba menghubungi nombor telefonnya, tetapi gagal.

“Saya menghubungi anaknya pula dan bertanyakan mengenai ibunya. Menerusi perbualan kami, anaknya berjanji untuk memaklumkan perkara ini kepada ibunya. Sehingga semalam (kelmarin) tidak ada jawapan diberikan. Jadi, saya beranggapan ini permainan syarikat itu,” katanya.

Azharina membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara, Puchong, kelmarin.

Menguatkan lagi dakwaan Azharina itu apabila syarikat terbabit gagal dihubungi kerana nombor telefon yang diberikan sudah ditamatkan perkhidmatan.

“Ini bukan kali pertama saya terkena. Sebelum ini, saya rugi RM2,000 apabila pembantu rumah warga asing yang diambil dari sebuah agensi melarikan diri selepas kurang sejam berada di rumah.

“Jadi, apabila berlaku perkara ini, naluri saya kuat mengatakan wujud sindiket penipuan membabitkan syarikat ini,” katanya.

Menurut Azharina, tindakannya membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berwajib mengambil tindakan supaya masalah seperti ini tidak terkena kepada orang lain.

“Saya ada salinan perjanjian dan resit pembayaran. Selain itu saya juga menyimpan maklumat peribadi wanita itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 12:24pm
d