rap

'Mata lagu terbaik saya'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Beberapa kali gagal melangkah ke pentas besar pentandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak pernah mematahkan semangat Ayda Jebat untuk terus berjuang.

Baginya, tidak pernah timbul rasa kecewa kerana dia melaksanakan tanggungjawab sebagai penyanyi dan tidak mengecewakan peminatnya.

“Walaupun sudah dua kali gagal, saya tak kecewa. Rasa kecewa itu lebih kepada apabila mengecewakan peminat yang menyokong saya.

“Walaupun mereka sentiasa nampak tenang setiap kali nama saya tidak diumumkan untuk layak ke AJL, saya tahu ada rasa kecewa dalam hati mereka,” katanya yang tampil dengan lagu Mata di peringkat separuh akhir Muzik Muzik.

Ditanya sama ada dia tidak menolak sekiranya namanya dilabelkan sebagai ‘penyendal’ dalam pentas pertandingan ini, Ayda berkata, dia tidak pasti sama ada ia sesuatu yang baik atau tidak.

“Apa yang saya pasti ialah setiap lagu yang layak ke separuh akhir juga ada kekuatan tersendiri.

“Kalau kita bercakap mengenai lagu yang bukan untuk pertandingan, banyak juga lagu Inggeris dari luar negara yang ringan, tapi masih boleh menang dalam pelbagai pertandingan,” katanya.

Dia juga menerima dengan terbuka setiap lagu yang terpilih ke peringkat AJL memandangkan ia berdasarkan keputusan juri.

“Siapa pun yang diumumkan ke AJL, ertinya lagu itu layak. Tak kisahlah dari segi apa pun, tentunya juri melihat daripada pelbagai sudut,” katanya.

Ayda berkata, Mata adalah lagu terbaiknya dari segi susunan muzik, lirik dan vokalnya. Ia juga dianggap karyanya yang paling lengkap.

“Kekuatannya bukan saja dari sudut tarian yang saya tampilkan pada malam itu, tapi juga cabaran untuk menyanyikannya dan saya dapat rasakan, ada sesuatu yang berbeza dalam Mata,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayda kini menantikan drama terbaru lakonannya, Dekatkan Jarak Kita yang menggandingkannya dengan Syafiq Kyle.

“Drama 16 episod ini akan ditayangkan bermula 21 November ini. Wataknya agak berat kerana saya perlu mainkan dua watak berbeza,” katanya.

Selain itu, debaran turut dirasakan olehnya sementara menantikan tayangan filem Pinjamkan Hatiku yang akan ditayangkan pada 30 November ini.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 12:26pm
d