rap

'Syarikat saya okay lagi'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PENGARAH dan penerbit filem, Ahmad Idham Nadzri, 45, menafikan dakwaan syarikat produksi miliknya, Aifa Motion Pictures muflis berikutan beberapa filem terbitannya gagal di pawagam, baru-baru ini.

Antara filem terbitan dan arahannya seperti Pencuri Hati Mr Cinderella dan Minah Motor hanya mencatat kutipan di bawah RM100,000.

Idham berkata, dia tahu banyak pihak menganggap dia gagal tetapi syarikatnya masih beroperasi seperti biasa.

“Kami masih beroperasi seperti biasa, malah pejabat urusan saya akan berpindah ke lokasi lebih besar dan selesa selepas ini.

“Apabila saya senyap selepas filem Pencuri Hati Mr Cinderella, ada yang beranggapan saya sudah muflis. Itu tidak betul sebenarnya,” katanya.

Menurutnya, syarikatnya juga bakal menerbitkan drama mengenai Jabatan Bomba dan Penyelamat berjudul Qhaliq arahan Rosli Mohd Taib, awal tahun depan.

Idham berkata, dia juga sibuk mengendalikan Aifa Skills Academy yang bakal memasuki fasa baru dengan mewujudkan program Diploma Pendidikan Khas (Kemahiran) yang bakal dilancarkan Khamis ini.

Aifa Skills Academy adalah pusat bertauliah pertama di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang menjalankan program pendidikan khas di Malaysia.

Ia mendapat kerjasama sekolah pendidikan khas elit antarabangsa iaitu Sekolah Pendidikan Khas Saint Claire di Singapura dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Disiarkan pada: November 6, 2017 @ 2:58pm
d