rap

Anuar amat terharu

Oleh Georgie Joseph

Awal tahun ini, penyanyi Anuar Zain terpaksa membuat keputusan mengejut dengan membatalkan konsert Anuar Zain & You - By The Lake yang sepatutnya berlangsung di Panggung Anniversari berikutan kehilangan suara.

Bukan satu keputusan mudah buat penyanyi berusia 47 tahun itu, namun demi kesihatan dia terpaksa mengecewakan banyak pihak.

Di sebalik kekesalan itu, Anuar bersyukur peminat masih menyayanginya, malah dia tidak menyangka mereka lebih risaukan keadaannya.

“Ketika itu saya sangat kecewa kerana segala persiapan sudah dibuat. Tinggal lagi saya hanya perlu berada di atas pentas dan menyanyi.

“Bagaimanapun, itulah ketentuan-Nya. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang,” katanya.

Paling dia terkilan adalah pengorbanan peminatnya yang ketika itu sudah berada di Kuala Lumpur demi menyaksikan persembahannya.

“Bayangkan mereka dari Brunei dan Singapura sudah sampai ke sini dan segala perbelanjaan sudah dikeluarkan untuk membeli tiket kapal terbang dan penginapan. Saya dapat bayangkan perasaan mereka ketika dimaklumkan perkara itu.

“Mengejutkan, peminat tidak marah sebaliknya mereka risaukan kesihatan saya. Mereka memberikan komen positif di media sosial dan tidak putus-putus mendoakan saya.

“Sesungguhnya sikap mereka yang sangat memahami itu menyentuh hati saya. Mereka masih menyayangi saya dan itulah hikmah disebalik apa yang berlaku,” katanya.

Anuar mengakui masih trauma kehilangan suara yang berlaku akibat ‘laringitis’. Keadaan itu memaksanya berehat beberapa bulan.

Banyak aktiviti seni terpaksa ditunda kerana masih fobia dengan kejadian tidak terduga itu.

Dia juga tidak menafikan ada terfikir mungkin sudah sampai masa untuknya bersara. Namun, dia sedar kejadian itu boleh berlaku kepada sesiapa saja, bukan hanya penyanyi.

“Terus terang saya rasa mungkin itu petanda hayat dalam bidang seni sudah tamat. Ketika itu, saya pasrah dan reda jika tidak boleh menyanyi lagi.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan ia normal dan sesiapa saja boleh terkena. Saya dinasihatkan supaya menjaga kesihatan dan syukur tidak lama kemudian beransur pulih,” katanya.

Anuar juga dalam perancangan mengadakan konsert solo pada tahun depan. Bahkan, sudah ada beberapa penganjur menawarkan diri menaja konsert itu.

Bagaimanapun, banyak aspek perlu dipertimbangkan terutama aspek penganjuran dan kerjasama semua pihak yang bakal terbabit.

“Dalam hal pengurusan konsert, saya mencari penganjur yang boleh memberikan komitmen terbaik kerana sangat serius jika membabitkan soal persembahan. Semua pihak perlu saling melengkapi supaya perjalanan konsert ini lancar.

“Saya masih mempertimbangkan tawaran beberapa konsert kerana banyak yang perlu diteliti,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar teruja menjayakan Konsert Emoji anjuran Fakulti Filem, Teater, dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Dia menerima tawaran itu kerana bangga dengan pencapaian FiTA selain ia membariskan nama handalan.

“Saya akan menyanyikan tiga lagu dan akan mempamerkan persembahan seperti di pentas besar. Walaupun diadakan di pusat pengajian tinggi, tidak bermakna ia tidak gah.

“Bahkan bagi saya ia acara yang wajar diberi pujian. Bukan saja pelajar, semua pihak tidak harus melepaskan peluang menonton konsert ini kerana mereka yang menjayakannya bukan calang-calang,” katanya yang ditemui pada sidang media acara itu.

Selain Anuar, Konsert Emoji turut menampilkan KRU, Faizal Tahir, Akim & The Majistret dan Ucop Mentor.

Berlangsung selama dua malam iaitu pada 16 & 17 November di Dewan Agung Tuanku Canselor (DTAC), UiTM, tiket berharga RM500, RM400, RM300, RM200, RM100 dan RM50 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.easytix2u.com.

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 9:37am
d