rap

Bakal mengarah filem mengenai autisme

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

SERING kali muncul dengan filem bergenre romantik, komedi, seram dan permotoran, pengarah Ahmad Idham Nadzri bakal mengarah filem bergenre drama pula iaitu mengenai autisme, tahun depan.

Ahmad Idham, 45, berkata, ia masih dalam proses menyiapkan skrip dan pra-produksi.

“Saya jangkakan filem itu akan ditayangkan April tahun depan sempena sambutan bulan autisme sedunia," katanya.

Meletakkan judul awal filem sebagai Firdaus, filem itu berkisar kehidupan beberapa watak yang berdepan dengan cabaran dan cara membesarkan anak autisme.

Ahmad Idham berkata, dia mendapat idea itu ketika sesi bertemu dengan ibu bapa yang mempunyai anak Autisme di Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

Katanya, lebih 100 kisah menarik dikongsikan mereka dan boleh dijadikan iktibar buat mereka yang mempunyai anak istimewa.

Ia termasuklah pengalamannya sendiri membesarkan anak sulungnya, Ahmad Firdaus, 17, yang mengidap autisme.

Ahmad Idham ditemui selepas melancarkan program Diploma Pendidikan Khas (Kemahiran) di Aifa Skills Academy hari ini. Mengenai program itu, Ahmad Idham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Aifa Skills Academy berharap ia memberi manfaat kepada orang awam yang mahu menambah ilmu kemahiran pengurusan pendidikan khas.

Program mendapat kerjasama Sekolah Pendidikan Khas Saint Clare, Singapura dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim sebagai inisiatif bagi menampung kekurangan guru pendidikan khas dalam sektor swasta.

Turut hadir, pelakon Liyana Jasmay, Raja Azri, Cat Farish dan penyanyi, Sharifah Zarina.

Disiarkan pada: November 9, 2017 @ 6:15pm
d