rap

Santai dan intim

Oleh Riadz Radzi

Persembahan band Indonesia, Andra & The Backbone di Timbre @ The Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur, malam kelmarin mungkin antara ‘showcase’ paling santai, selesa dan intim yang pernah penulis hadir.

Dihadiri kurang daripada 200 penonton, tidak pasti sama ada penganjur Newsantara Show Connects memang menyasarkan jumlah penonton yang sedikit berikutan ruang yang agak kecil atau memang tiket berharga RM99 kurang laris.

Mungkin penganjur kurang gembira dengan jumlah penonton, tetapi selaku penonton, penulis puas. Yalah, situasi itu membolehkan penulis berada kurang dua meter dari pentas mereka membuat persembahan sekali gus lebih fokus terhadap band yang dianggotai Andra Ramadhan (gitar), Dedy Lisan (penyanyi) dan Stevie Item (gitar) itu.

Malah, anda boleh melihat dengan jelas kord dan not gitar dimainkan Andra yang juga pemain gitar serta pengasas band legenda Indonesia, Dewa 19.

Persembahan malam kelmarin juga lebih relaks kerana mereka bermain secara akustik. Dibantu tiga pemuzik undangan terdiri daripada pemain dram, bass dan keyboard, persembahan Andra & The Backbone cukup memikat.

Walaupun berskala kecil, penonton puas kerana Andra & The Backbone membawa 15 lagu.

Nama Andra & The Backbone mungkin tidak begitu kuat di sini, tetapi di Indonesia mereka antara band yang memiliki reputasi besar.

Nama Andra selaku pengasas band ini sudah cukup untuk menarik peminat terutama dalam kalangan Baladewa (panggilan untuk peminat Dewa 19).

Walaupun muzik Andra & The Backbone sedikit berat berbanding Dewa 19, band ini ada persamaan terutama dari segi lirik cinta puitis.

Vokal Dedy yang ‘husky’ juga dilihat sesuai dengan gubahan muzik Andra & The Backbone. Dalam erti kata lain, gabungan idea Andra, Dedy dan Stevie yang juga anggota band death metal Deadsquad memberi pelbagai warna dalam band ini.

Mungkin ada yang tidak tahu, band yang ditubuhkan pada 2006 ini sudah lima kali membuat persembahan di Kuala Lumpur.

Malam itu, Andra & The Backbone yang sudah memiliki lima album ini membawakan lagu popular mereka seperti Main Hati, Sempurna, Tak Ada Yang Bisa, Lagi & Lagi, Saat Dunia Masih Milik Kita, Tunggu Aku, Hikayat Cinta, Panah Takdir, Musnah, Hitamku, Seperti Hidup Kembali dan Jalanmu Bukan Jalanku.

Jika Andra & The Backbone dikenali kerana ia ditubuhkan Andra yang juga anggota asal Dewa 19, tidak salah jika mereka turut membawakan lagu Dewa 19.

Hasilnya, malam itu mereka turut membawakan tiga lagu popular Dewa 19 khas buat penonton iaitu Aku Di Sini Untukmu, Satu Hati dan Separuh Nafas.

Malah, penonton lebih teruja ketika mereka membawakan lagu Dewa 19!

Selain itu, penyanyi Singapura, Awi Rafael yang juga penganjur persembahan itu turut bergabung suara bersama Dedy menyampaikan lagu Tak Ada Yang Bisa.

Sebahagian hasil jualan tiket ini akan diserahkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 12:29pm
d