rap

Pat Ibrahim arah lima sutradara

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENGARAH teater Pat Ibrahim tidak gentar mengarahkan lima sutradara yang juga pelakon naskah Bangsawan Dendam Laksamana yang mulai dipentaskan di Auditorium DBKL malam ini sehingga Ahad.

Mereka terdiri daripada Pekin Ibrahim (pengarah filem), Norzizi Zulkifli (pengarah teater), Hamzah Tahir (pengarah teater), Megat Shahrizal (pengarah drama) dan Anwar Rusdini (pengarah teater).

Pat berkata, dia beruntung apabila kesemua mereka memberikan kerjasama baik dan meletakkan diri sebagai pelakon.

“Saya pun pada mulanya tidak perasan mengenai perkara ini. Apabila kami duduk bersama, baru sedar saya sebenarnya mengarahkan lima pengarah hebat. Namun, ia tidak membataskan kreativiti saya ketika berkarya.

“Sebaliknya, mereka banyak membuka ruang untuk saya menjalankan tanggungjawab sebagai pengarah. Sepanjang latihan, kami banyak berkongsi idea. Apatah lagi ini teater bangsawan pertama arahan saya. Sudah semestinya ada antara mereka yang menjadi rujukan saya juga,” katanya kepada Harian Metro.

Merut Pat, karya sulungnya itu berbeza daripada kebanyakan teater bangsawan yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Malah, Pat yang dikenali dalam pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang berharap penonton buka mata dengan pementasan teater bangsawan.

“Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas baik daripada penonton pada persembahan malam gala semalam. Malah, ada yang memberi komen teater ini satu anjakan paradigma dalam teater bangsawan.

“Saya berharap, maklum balas sama diperolehi malam ini sehingga Ahad. Saya mahu penonton buka mata dengan teater bangsawan. Disebabkan itu, saya memberikan sentuhan berbeza dalam karya ini,” katanya.

Selain lima pengarah itu, teater yang mendapat sokongan JKKN dan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia itu turut menampilkan pelakon Nadia Aqila sebagai Wan Hanum.

Tiket menyaksikan persembahan ini masih boleh didapati di DBKL dengan harga RM25 hingga RM70.

Foto Saifullizan Tamadi

Disiarkan pada: November 10, 2017 @ 8:01pm
d