rap

Berbaloi demi Loudness

Oleh Riadz Radzi & Najiy Jefri

Tidak dinafikan lebih 90 peratus penonton yang hadir ke konsert hari kedua Sound Valley Festival 2017 di MAEPS, Serdang, Selangor, Ahad lalu mahu menyaksikan kehebatan band heavy metal legenda dari Jepun, Loudness.

Loudness yang kini dianggotai Minoru Niihara (penyanyi), Akira Takasaki (gitar), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram - pemain dram asal mereka, Munetaka Higuchi meninggal dunia pada 2008) ini cukup dekat dengan rocker Malaysia.

Ketika era kegemilangan muzik rock di Malaysia pada 1980-an, nama Loudness tidak lekang daripada bibir peminat muzik rock tempatan.

Pendek kata, tak lengkap kehidupan sebagai rocker jika tidak mendengar lagu Loudness.

Akhirnya, empat pemuzik hebat ini berada di depan mata. Ini adalah kedatangan kali kedua Loudness selepas konsert di KL Live pada 2011.

Walaupun persembahan Loudness lewat hampir sejam akibat masalah teknikal, namun penonton tetap setia menanti.

Dan semuanya berbaloi apabila Loudness memulakan persembahan.

Tanpa sebarang bicara, mereka membawakan tiga lagu yang cukup sinonim dengan peminat di sini, iaitu Crazy Nights, Like Hell dan Heavy Chains daripada album Thunder in the East.

Apa yang pasti, kunci utama persembahan Loudness ialah daripada pemain gitarnya, Akira. Permainan Akira cukup memukau. Boleh dikatakan sukar untuk mencari sebarang kecacatan dalam teknik permainannya termasuk solo gitar yang mengagumkan.

Sejak dulu, Akira selaku pengasas Loudness dilihat sebagai tulang belakang band ini. Gandingannya dengan Minoru dan Masayoshi cukup lengkap dan padat walaupun sekadar ‘three-piece band’.

Begitu juga dengan Masayuki yang menggantikan Munetaka pada 2009. Bukan saja menampilkan permainan dram yang hebat, bertubuh sasa, bermisai dan berjanggut panjang membuatkan Masayuki kelihatan ‘gerun’ seperti pahlawan samurai atau anggota Yakuza!

Apa yang pasti, senarai lagu Loudness pada malam itu memuaskan hati peminat tegar mereka walaupun ada yang sedikit kecewa apabila mereka tidak memainkan lagu Shadow of War.

Kebanyakannya adalah lagu yang dihafal peminat seperti Loudness, Black Wall, Let It Go, Rock & Roll Gypsy, So Lonely, Rock This Way, Esper, Sun Will Rise Again, Metal Mad, In The Mirror, Crazy Doctor dan S.D.I.

Terdahulu, tapak konsert sudah dibanjiri penonton seawal jam 2 petang bagi menyaksikan persembahan band rock lain seperti Wings, MAY, Metalasia, Cassandra dan FiftyOne50.

MAY yang sudah lama tidak beraksi sejak penyanyi Mus jatuh sakit pada Julai lalu memberikan persembahan yang memikat.

Mus berkata, konsert berkenaan secara tidak langsung mengubat rindunya untuk bertemu peminat yang tidak henti menyokong perjalanan seninya.

Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, Mus dilihat lincah dan penuh bertenaga ketika menghiburkan peminatnya.

“Saya harap persembahan saya ini dapat mengubat rindu peminat. Saya pun sudah lama tidak beraksi di atas pentas yang besar.

“Alhamdulillah di sebalik keadaan kesihatan yang kurang baik selain mengalami daya ingatan yang lemah, saya diberi kekuatan untuk bekerja dan mampu mengingati setiap lagu MAY dengan baik. Mungkin sebab lagu itu sudah hadam lama dalam ingatan.

“Saya cuba memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton, namun masih menjaga batas kerana tidak mahu ‘tumbang’ ketika menyanyi,” katanya.

MAY menghiburkan peminatnya dengan seleksi lagu Sendat & Ketat, Strategi, Jiwa Karat, Sinar, Hakikat Perjuangan, Gadis Bertudung Putih dan Pelayaran.

Wings terus terbang

Sebelum Loudness, Wings yang juga tarikan utama konsert ini tampil tepat jam 9.45 malam.

Wings muncul di pentas dengan membuka persembahan menerusi lagu Lipas Kudung.

Penyanyinya, Awie terus menggamatkan konsert berkenaan dengan menghiburkan peminat mereka dengan mempersembahkan tujuh lagu tanpa henti.

Lagu seperti Jerangkung Dalam Almari, Rantai, Sejati, Awang Trasher, Bujang Senang dan Peronda Jaket Biru jelas mengimbau nostalgia peminat yang turut sama menyanyikan lagu terbabit.

Awie ketika ditemui selepas persembahan berkata, dia teruja dengan sambutan peminat yang begitu ‘sporting’ dan setia menyokong perjalanan seni Wings.

“Jarang dalam setiap persembahan saya berinteraksi dengan peminat kerana tidak mahu momentum persembahan lari selain tidak mahu ada yang mengatakan saya cuba ‘curi angin’ kerana tiada stamina.

“Bagaimanapun, pada konsert ini saya memberi peluang kepada pemuzik Wings untuk menyusun corak persembahan apabila lagu keempat baru bercakap dengan peminat dan teruskan momentum.

“Kali ini, kami melakukan perubahan kerana faktor usia anggota Wings yang meningkat, namun jiwa orang muda yang menyaksikan tidak faham dengan stamina dan kesakitan yang kami alami. Apa yang mereka mahu lihat adalah kepuasan jadi kami sentiasa berikan yang terbaik demi memuaskan hati peminat tercinta,” katanya.

Menurut Awie, dia hanya mempunyai masa dua hari untuk melakukan persiapan konsert terbabit.

“Saya sebenarnya sibuk dengan penggambaran filem Hantu Kak Limah di Kuala Kangsar dan Taiping, Perak. Saya berada di sana selama 21 hari.

“Jadi saya hanya sempat membuat persiapan selama dua hari saja. Namun, saya bersyukur kerana persembahan berlangsung penuh jaya dan mengikut persiapan yang dilakukan Wings terlebih awal,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 4:43am
d