rap

Lakonan bukan lagi keutamaan Clooney

Oleh Susunan Michelle Gun

Sudah setahun bintang Hollywood George Clooney tidak muncul di layar perak. Filem terakhir lakonannya adalah Hail Caeser dan Money Monster yang ditayangkan tahun lalu.

Dalam temu bual bersama The Sunday Times baru-baru ini, pelakon berusia 56 tahun itu memberitahu karier seni bukan lagi keutamaannya.

“Sudah lama saya berlakon. Malah, saya bukan lagi lelaki yang mengejar wanita.

“Bagaimanapun, saya pasti terima kalau diberikan watak Paul Newman dalam The Verdict. Namun, watak sebegitu semakin kurang,” katanya.

Jelas bapa kepada dua anak itu lagi, buat masa ini wang juga bukan perkara penting baginya.

“Dulu, duit hasil lakonan saya gunakan untuk membayar sewa. Selepas menjual syarikat Tequila, saya sudah boleh hidup senang,” katanya.

Pada Jun lalu, Clooney dan dua rakan kongsinya dilaporkan menjual syarikat minuman keras Casamigos dengan harga tinggi.

“Sekarang saya sudah ada duit dan boleh berjuang untuk menghasilkan filem sendiri.

“Kalau lihat apa yang saya lakukan 15 tahun lalu, kebanyakan karya tidak dihasilkan sekiranya saya tak berlakon dalam projek itu.

“Tiada orang mahu menghasilkan filem Good Night and Good Luck, Michael Clayton atau Up in the Air. Saya yang berjuang untuk mengetengahkan karya itu,” katanya.

Kata suami kepada aktivis terkenal Amal ini, dia akan mencari dana untuk membiayai karyanya dan sanggup melakukan apa sahaja demi menghasilkan naskhah itu.

Mengulas perkembangan terbaru, filem arahan dan ciptaan Clooney, Suburbicon bakal menemui penonton pada 23 November ini.

Pada awal pembikinan, Clooney membawa watak kecil sebagai penyiasat insurans pada era 50-an.

Filem komedi yang mengisahkan kegagalan satu rancangan pembunuhan itu mula dihasilkan pada pertengahan 2000.

Bagaimanapun, projek itu gagal. Beberapa tahun kemudian, Clooney dan penulis skrip Grant Heslov berkolaborasi untuk menghasilkan filem mengisahkan keluarga Myers.

Menerusi kerjasama itu, Clooney bersama Heslov membuka semula projek Suburbicon dan mereka masih mengekalkan plot cerita asal yang dikarang adik-beradik Coen.

Filem Suburbicon mengupas kisah usahawan Gardner Lodge yang bersubahat dengan kakak iparnya Margaret untuk membunuh isterinya bagi mendapatkan pampasan insurans wanita itu.

Sebahagian besar kejadian dalam filem terbabit disampaikan anak lelaki Lodge, Nicky yang kemudian menyedari perkara sebenar di sebalik pembunuhan itu.

Suburbicon membariskan pelakon hebat Matt Damon, Julianne Moore dan Noah Jupe.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 2:34am
d