rap

Ezza tak mengalah

Oleh Syanty Octavia Amry

Cuba mengikut jejak langkah rakan senegara mencipta nama di Malaysia, penyanyi dari Filipina, Ezza, 29, berharap single pertama berjudul Cinta Ternoda mendapat tempat di hati peminat di sini.

Meminati penyanyi terkenal Ella dan Shima, pemilik nama penuh Eloisa P Dartuin itu selesa membawakan muzik rock.

Oleh itu, Cinta Ternoda yang dihasilkan komposer Fauzi Marzuki dan Sham Amir Hussain itu berkonsepkan pop rock.

Malah lagu itu Fauzi cipta bersesuaian dengan suara Ezza.

Meskipun sedar tidak mudah penyanyi Filipina mendapatkan tempat di negara ini, Ezza mengganggap ia cabaran untuknya bertahan dan dikenali seperti Mark Adam serta Fredo.

“Saya tahu tidak ramai penyanyi Filipina di sini. Untuk berjaya juga tidak mudah kerana Malaysia ada ramai penyanyi hebat.

“Namun saya tak boleh mengalah sebaliknya kena berani ke depan. Lagipun, sudah dua tahun saya di sini,” katanya.

Sebelum muncul dengan single, Ezza terlebih dulu menyanyi di beberapa hotel terkemuka di ibu kota.

Peluang itu digunakan Ezza sebaik mungkin bagi memperbaiki vokal dan muzik yang diperjuangkan.

Mula menyanyi seawal usia tujuh tahun, Ezza mengakui belum berkesempatan merakamkan lagu atau album sendiri di negaranya.

“Seronok rasanya apabila diberi peluang tampil dengan lagu sendiri. Di negara sendiri saya belum pernah rakam lagu.

“Tak sangka rezeki saya sebenarnya di Malaysia,” katanya.

Kini Ezza menetap lama di Malaysia bagi mempromosikan single itu selain cuba mendalami bahasa Melayu.

“Saya masih dalam usaha belajar bahasa Melayu. Harap selepas ini saya lebih fasih,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 2:41am
d