rap

Kembalikan kehangatan muzik rock

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Sama hebat, sama bertenaga dengan genre muzik dibawa mengikat penonton untuk terus kekal ke akhir konsert.

Biarpun berkongsi pentas dan audien sama, keserasian tiga band rock ini tidak boleh dipertikaikan.

Buktinya Klutz dari Singapura membawa muzik rock alternatif dan fast rock, Febians dengan rock era 1980-an dan Orion dari Kuala Lumpur pula memperjuangkan speed metal dan heavy metal.

Bahkan pentas Konsert Live & Loud di Blackbox Mall Of Medini Iskandar Puteri, Johor Bahru, baru-baru ini menjadi eksperimen gandingan kolaborasi tiga band itu dalam memperjuangkan muzik rock di selatan tanah air.

Konsert yang bermula jam 8.30 malam itu tidak langsung memperlihatkan ‘over shadow’, sebaliknya masing-masing saling memberi sokongan dalam memastikan penonton terhibur.

Dianggotai empat anak muda iaitu Fuzz selaku vokalis, Shafiq (gitar), Pirah (bass) dan Apai (dram), Klutz memulakan konsert dengan cukup bertenaga.

Lagu Bianglala membuka tirai konsert sekali gus menjadi ‘pemanas’ kepada empat lagu dibawa band yang pernah dicalonkan dalam tiga kategori pada Anugerah Planet Muzik 2017.

Tidak menghampakan, aura rock alternatif itu diteruskan dengan membawa beberapa lagu popular dan mendapat tempat di hati pendengar muzik itu termasuk Sambar, Bintang Bersuara dan Pandemonia.

Aksi bertenaga Klutz yang pernah menjuarai pertandingan ‘Singapore Battle of The Bands’ pada 2005 itu berlangsung hampir setengah jam.

Mengakui tempoh diberikan itu tidak mencukupi bagi setiap konsert pernah diadakan sebelum ini, namun Fazz berbesar hati dapat beraksi dengan band rock Malaysia iaitu Febian’s yang dikategorikan sebagai ‘otai’.

Febian’s yang cukup dikenali dengan lagu Untukmu Sayang, Rumie & Julie dan Penantian pada 1980-an tampil membuat persembahan jam 9.30 malam.

Siapa sangka Febian’s yang ditubuhkan pada 1979 sudah dianggotai 65 pemuzik yang bersilih ganti.

Band dari Johor Bahru yang dianggotai Raymie (penyanyi), Rahmat (gitar), Nano (gitar), Hasan (bass), Hisham (keyboard) dan Sham (dram) menampilkan persembahan memikat terutama buat peminat yang mengikuti mereka sejak dulu.

Sebelum ini mereka dikenali sebagai D’Febians dan The Febians bersama penyanyi Nasa yang kini dikenali sebagai Bandi Amuk.

Raymie yang menyertai Febian’s pada 2014 nyata tidak mengecewakan apabila tampil bertenaga dengan membawa lagu-lagu popular band itu.

Pengalaman mengikut abang sulungnya, Sham yang juga anggota Febian’s paling lama memberikan kelebihan kepada Raymie.

“Saya menyertai Febian’s pada 2014 selepas dipanggil Abang Sham. Sebelum itu saya menjalani uji bakat selama dua bulan dan selepas itu baru ditawarkan menyertai Febian’s.

“Febian’s bukanlah asing bagi saya. Sejak kecil saya sudah mengikuti mereka kerana abang saya seorang anggotanya. Ke mana saja Febian’s mengadakan persembahan, saya turut bersama mereka,” katanya kepada RAP.

Berkonsepkan ‘we are family’, gandingan baru Febian’s ini lebih mantap. Walaupun dikategorikan sebagai ‘otai’, Febian’s mengakui Klutz dan Orion yang berkongsi di pentas sama tetap hebat.

“Mereka pun ada jiwa sendiri dan ada gaya dan persembahan sendiri. Kita sama-sama hebat,” katanya.

Febian’s yang terkenal sebagai ‘raja pentas’ sejak dulu masih mengekalkan stamina di hadapan peminat.

Mengakui perkara itu, Raymie berkata, gelaran diterima pada 1985 hingga 1990-an itu masih dipertahakan hingga kini.

“Raja pentas itu ‘title’ untuk Febian’s. Setiap kali mahu menamatkan persembahan, kami akan membuat sesuatu gimik dan itulah kekuatan Febian’s.

“Orang tahu aksi Febian’s mesti diakhiri dengan permainan dram yang panjang. Jika ‘trademark’ itu tidak ada, maknanya bukan Febian’s. Ini kerana sejak 1979 hingga sekarang, pemain dramnya adalah orang yang sama,” katanya.

Kemunculan Febian’s kali ini juga sangat istimewa kerana menyaksikan pertama kali mereka membawakan single terbaru berjudul Untuk Apa Lagi.

Orion pula yang popular dengan muzik speed metal dari Kuala Lumpur ini pertama kali mengadakan persembahan di Johor Bahru.

Muzik dibawakan itu mengakhiri persembahan dengan mendendangkan lagu daripada album Voyage to the Promised Land.

Paduan tenaga itu sebagai usaha untuk mengembalikan semula kehangatan irama muzik rock, Rashid & SL Empire Enterprise julung kali menggabungkan tiga kumpulan itu dalam konsert berkenaan.

Disiarkan pada: November 17, 2017 @ 3:44am
d