rap

Ajal dalam tidur

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PEMAIN bass kumpulan Samudera, Jimmy meninggal dunia dalam tidur di rumah inap desa di Parit Tengah, Batu Pahat, Johor akibat serangan jantung, 7.45 pagi hari ini.

Sebelum itu, Jimmy atau nama sebenarnya, Azizan Hamid, 48, mengadakan persembahan bersama Samudera sempena program Jom Gegar Rengit di Batu Pahat, malam tadi.

Mereka bermalam di rumah inap desa di Parit Tengah dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur,pagi hari ini.

Pemain drum Samudera, Mohd Azhar Ropie atau Aai ketika dihubungi berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik ketika mereka membuat persembahan malam tadi.

“Dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keletihan atau sebagainya. Selepas persembahan berakhir pada jam 12.15 tengah malam, kami sempat makan bersama sebelum pulang ke rumah inap desa pada jam 1 pagi," katanya kepada Harian Metro.

Aai berkata, pagi tadi mereka mengejutkan Jimmy dari tidur dan panik apabila mendapati dia sudah tidak bernafas.

“Jimmy dibawa ke Hospital Batu Pahat dan selepas pemeriksaan doktor mendapati jantungnya bengkak. Doktor kemudian mengesahkan kematiannya akibat serangan jantung," katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Kuala Lumpur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan, malam ini.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak.

Selain Jimmy dan Aai, Samudera yang popular dengan lagu Titian Hasrat dan Salam Sejahtera pada 1990-an turut dianggotai Shah (penyanyi), Azmi (gitar) dan Jedd (gitar).

Pada 31 Januari lalu, penyanyi asal kumpulan ini iaitu Ujang ditemui meninggal dunia di rumahnya di Felda Palong Timur, Segamat.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 7:03pm
d