rap

Kelantangan Syifa curi perhatian

Oleh Syanty Octavia Amry

Konsert akhir Ceria i-Star 2017 yang berlangsung Jumaat lalu menjadi milik peserta dari Jakarta, Indonesia, Syifa, 8, yang muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi.

Fasih berbahasa Inggeris, nyata kelantangan Syifa menerusi persembahan Cinderella versi Islamik berjaya mencuri perhatian juri.

Tempat kedua dimenangi Puteri yang membawa pulang RM10,000 dan trofi, manakala tempat ketiga menjadi milik Ayeen yang membawa pulang RM5,000 dan trofi.

Tempat keempat pula menjadi milik Hazury yang membawa pulang RM1,000 dan trofi.

Berkongsi perasaannya, Syifa berkata, dia tidak menyangka bakal menyaingi teman dari Malaysia.

Baginya, sebagai peserta daripada luar ia cukup memberi cabaran buatnya.

“Alhamdulillah. Insya-Allah wang kemenangan ini akan saya gunakan untuk mengerjakan umrah bersama kedua-dua orang tua,” katanya.

Duta Caliph selama setahun

Sementara itu, Ayeen yang memenangi tempat ketiga turut gembira apabila dipilih sebagai Bintang Pilihan Caliph yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Ia sekali gus melayakkan Ayeen membawa pulang hadiah keseluruhan paling banyak iaitu RM17,000. Malah ia turut melayakkan Ayeen dilantik sebagai duta Caliph selama setahun.

“Rasa seronok macam tidak percaya dipilih menjadi duta. Walaupun hanya ditempat ketiga saya tetap gembira kerana dengan wang kemenangan ini dapatlah saya berkongsi dengan ibu dan bapa,” katanya.

Konsert akhir Ceria i-Star disiarkan secara langsung di saluran Astro Ceria dan Astro Prima bermula jam 9 malam.

Konsert itu diacarakan Nabil Ahmad dan PU Yeop dan pengacara bersama Dzawin.

Juri tetap terdiri daripada Ustaz Amin Idris dan Imam Muda Asyraf manakala juri nusantara ialah Laudya Cynthia Bella.

Pada konsert akhir itu, penyanyi remaja Harris J tampil membuat persembahan menerusi lagu popularnya berjudul Salam Alaikum.

Dalam pada itu, Penolong Naib Presiden Perniagaan Gen Next Astro Mohd Irwan Abdul Rauf berkata, atas sambutan penyertaan peserta daripada negara jiran, pihaknya bercadang meneruskan lagi sesi jelajah di negara terbabit pada masa akan datang.

“Insya-Allah jika program ini terus mendapat sambutan daripada Indonesia dan Brunei, kami akan ke sana lagi.

“Saya yakin format Islamik seperti ini sangat sesuai untuk kanak-kanak dalam menyertai pertandingan yang turut memberi manfaat,” katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 2:12pm
d