rap

Janganlah marah Isil...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

GARA-GARA tular menyanyikan lagu Tak Tun Tuang, penyanyi baru, Andi Bernadee diserang penyanyi asal, Upiak Isil di laman Instagram milik Andi, dua hari lalu.

Penyanyi asal Padang, Indonesia yang mesra disapa Isil, mempersoalkan tindakan Andi menyanyikan lagu itu ketika menjayakan persembahan.

Andi, 26, akui terkejut mengetahui perkara itu apabila dimaklumkan peminat di laman Instagram.

“Terasa juga dengan tindakannya kerana menegur di ruang komen. Selama ini saya tidak pernah mengatakan itu lagu saya.

“Semua tahu lagu itu nyanyian semula dan tular di media sosial. Sudah rezeki saya apabila ramai minta saya nyanyi ketika buat persembahan,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Andi, dia menghantar mesej memohon maaf kepada Isil di laman Instagram dan mendapat respon darinya.

“Dia faham apabila saya jelaskan perkara sebanar. Katanya, dia pun tiada niat untuk malukan saya cuma ingin menyatakan lagu itu nyanyian asalnya,” katanya.

Andi dan Isil saling berhubung menerusi aplikasi Whatsapp dan Isil mahu berjumpa dengannya.

“Kami bakal dipertemukan dalam satu program hiburan,” katanya.

Andi baru sahaja melancarkan nyanyian semula lagu Tak Tun Tuang versi penuh di laman YouTube menggunakan akaun Andi Bernadee.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 5:22pm
d