rap

'Saya sentiasa all-out'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Siti Nordiana atau Nana menafikan tidak serius ketika berduet dengan Lan Kristal menyanyikan lagu Naluri Cinta di konsert minggu keempat Gegar Vaganza 4 (GV4), semalam.

Malah Nana akui sudah ‘all-out’, bukan acuh tak acuh sebagaimana dikatakan pengkritik tetap, Datuk Ramli MS.

“Saya tidak kecil hati pun, dari dulu ketika di GV2 dah terima komen begitu dan anggap sekadar gurauan.

“Saya juga tidak pernah main-main atau sambil lewa dalam setiap persembahan.

“Biarpun tidak bertanding, saya tetap beri yang terbaik. Saya sudah beri sehabis baik,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Nana, ‘key’ awal lagu itu juga ditinggikan sedikit oleh Ramli atau Tok Ram untuk disesuaikan dengan suaranya.

“Untuk nada rendah, memang saya lemah kerana bentuk suara saya tidak sebesar penyanyi asal.

“Saya mahu beri kelainan dan ubah tiga cara berbeza sebelum membuat pilihan akhir.

“Tok Ram juga tegur nyanyian saya ketika latihan akhir. Dia mahu saya lebih bertenaga dan tukar sedikit pada permulaan lagu. Jika tidak, ia kedengaran sama dengan penyanyi asal,” katanya.

Nana juga akui perlu berhati-hati dan bijak mengawal cara nyanyian supaya harmoni suaranya dan Lan tidak terganggu.

Ramli ketika ditemui selepas konsert mengharapkan Nana tampil hebat sesuai dengan gelarannya sebagai juara GV2.

"Kalau dia peserta atau bintang tersingkir awal, saya tidak akan komen begitu tapi dia bekas juara. Keunggulan dan mutu perlu ada.

"Cuba lihat bagaimana Azharina mempersembahkan lagu duetnya bersama Hazami. Dia lakukan sehabis baik.

“Sebagai juara, Nana harus memikul tanggungjawab itu dengan baik," katanya.

Kata Ramli, dia tidak marah tetapi sekadar berkongsi fakta mengenai cara nyanyian Nana yang dilihat tiada kesungguhan.

“Selepas menilai cara nyanyiannya, ada nada tidak betul. Jika Nana bimbang persembahannya tenggelamkan Lan, dia perlu lakukan persembahan dengan baik sesuai gelarannya," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 6:48pm
d