rap

Tam sedia bersara

Oleh Michelle Gun

Bintang legenda Hong Kong, Tommy Tam atau lebih dikenali sebagai Ti Lung tidak asing dalam kalangan penggemar karya seni mempertahankan diri dan aksi.

Antara filem yang mengangkat nama Tam dalam industri perfileman adalah The Blood Brothers, The Avenging Eagle, Drunken Master II dan siri televisyen Justice Pao.

Hampir separuh abad menceburi bidang seni, pelakon berusia 71 tahun ini menyatakan persediaannya untuk bersara.

Tam ketika ditemui baru-baru ini berkata, dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama dua cucunya.

“Anak lelaki saya baru menimang cahaya mata kedua. Demi cucu, saya perlu menjaga kesihatan kerana mahu hidup lebih lama untuk mereka.

“Jadi, sudah tiba masanya saya kurang berfikir banyak mengenai kerja dan fokus terhadap keluarga,” katanya.

Memandangkan lakonan sudah sebati dengan jiwanya, Tam tidak akan menolak tawaran beraksi di layar perak asalkan karya berkualiti.

“Bagi saya, persembahan ikhlas mampu menambat hati penonton, sekali gus menjayakan keseluruhan sesebuah karya.

“Saya bukan seorang yang ‘demand’. Asalkan filem dan pengarah bagus, saya pasti terima,” katanya.

Tam berada di Kuala Lumpur, baru-baru ini mempromosikan sekuel The Kid From The Big Apple 2 arahan Jess Teong yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Filem komedi drama dalam bahasa Mandarin itu turut menampilkan anak lelaki Tam, Shaun serta pelakon tanah air Sarah Tan Qin Lin dan Debbie Goh.

Ini bukan kali pertama dua beranak itu berlakon bersama dan mereka pernah berganding dalam filem 7 Assassins pada 2013.

Apabila di set penggambaran, Tam dan Shaun akan mengetepikan seketika hubungan mereka sebagai bapa dan anak serta bersikap profesional.

“Di depan kamera, kami bukan bapa dan anak. Kalau disuruh saling membenci, kami akan melakukannya kerana itulah tugas pelakon” katanya.

Dalam filem itu, Shaun, 37, berlakon sebagai bekas kekasih Sophia yang kesal atas tindakannya untuk meninggalkan wanita itu ketika mengandung anak mereka.

Tam pula membawa watak Master Gen yang juga bapa Sophia.

“Saya tidak kekok melakonkan beberapa babak emosi bersama Shaun. Bagi saya, dia berbakat dalam lakonan.

“Saya selalu menasihati dia supaya tidak lupa diri dan sentiasa bersikap rendah diri,” katanya.

Minta penjelasan doktor

Bercerita persiapan watak Master Gen yang didapati menghidap masalah dementia dalam sekuel itu, Tam berkata ini kali pertama dia melakonkan watak sedemikian.

“Saya ada saudara yang mempunyai penyakit ini dan mendapati masalah itu tidak boleh dibendung selain boleh menyebabkan tekanan.

“Sebagai persiapan, saya meminta doktor peribadi untuk menjelaskan lebih terperinci mengenai dementia.

“Mujur ada sokongan dari isteri dan anak yang sentiasa mengingati saya supaya tidak tertekan,” katanya.

Menurut Tam, pada mulanya dia bimbang sekiranya persembahannya kurang memberi kesan terhadap penonton.

“Selepas menonton filem itu, saya lega kerana lakonan tidak berlebih-lebih. Mana tidak, saya tiada pengalaman sebagai pesakit dementia,” katanya.

Mengenai cabaran pula, Tam berkata babak di rumah warga tua menyebabkan dia sebak kerana terbayang nasib Master Gen.

“Rakan Master Gen menghantar ibunya ke rumah warga tua dan saat itu menyebabkan saya sedih mengingati lelaki itu mungkin berdepan nasib sama,” katanya.

Kisah masalah keluarga

Filem pertama The Kid From The Big Apple lebih mengetengahkan konflik hubungan Master Gen dan cucu perempuan, Sarah yang dibesarkan di Amerika Syarikat.

Dalam sekuel kedua pula, hubungan dua beranak itu semakin rapat, namun keluarga itu berdepan kesukaran apabila Master Gen mula menunjukkan simptom penyakit dementia.

Pengarahnya, Teong berkata, filem itu bukan fokus terhadap dementia tetapi masalah yang berlaku dalam sebuah keluarga.

“Setiap keluarga ada masalah berbeza. Cuma dalam filem ini, masalah dihadapi keluarga berkenaan membabitkan penyakit dementia,” katanya.

Menerusi karya itu, Teong mahu menyedarkan penonton supaya sentiasa mengingati dan berada di sisi anggota keluarga.

“Ada keluarga mengupah pembantu rumah untuk membantu menguruskan pesakit atau menghantar ke rumah warga tua.

“Saya mahu penonton sedar kehadiran anak di sisi ibu bapa tidak kira apa jua waktu adalah paling penting.

“Kenangan manis bersama keluarga dan kasih sayang lebih bernilai dari wang,” katanya.

Dalam pada itu, Teong berkata buat masa ini dia belum mempunyai perancangan untuk membuat sekuel The Kid From The Big Apple.

“Tunggu lagi lima tahun apabila pelakon kanak-kanak sudah dewasa. Mungkin masa itu sesuai untuk menghasilkan kisah baru,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 4:59am
d