rap

Apa Itu Cinta raih 500,000 tontonan di FB

Oleh Michelle Gun

Program bual bicara Apa Itu Cinta yang membincangkan kisah cinta selebriti popular tanah air bersama pasangan mereka berjaya meraih lebih 500,000 tontonan di Facebook (FB).

Sebanyak dua juta penonton dicatatkan untuk lapan episod program itu menerusi saluran radio dan siaran langsung di laman Facebook Suria Malaysia.

Pengurus Kanan Pengurusan Penjenamaan dan Digital Suria Shahida Azad Jamaludin berkata, jumlah itu berjaya melepasi sasaran awal untuk siaran di media sosial.

“Kejayaan itu membuatkan kami terus berusaha menyediakan program asli yang lebih interaktif dan menghiburkan penonton,” katanya.

Shahida turut mengucapkan terima kasih kepada selebriti yang sudi meluangkan masa menghadiri program berkenaan.

“Tanpa sokongan mereka, Apa Itu Cinta tidak mungkin berada di tahap ini,” katanya.

Apa Itu Cinta dikendalikan penyampai radio Suria FM, DJ Lin selama satu jam yang boleh disaksikan secara langsung di laman Facebook Suria Malaysia pada setiap Rabu, jam 10 malam.

Antara artis terbabit adalah Akim, Stacy, Sherry Alhadad, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Aliff Aziz, Nora Ariffin, Tajul, Wany Hasrita dan Hafiz Hamidun.

Episod pertama musim kedua Apa Itu Cinta membuka tirai pada 6 September lalu dengan mengundang Hafiz Hamidun berkongsi kisah kontroversi perkahwinannya dengan usahawan Joy Revfa.

Siaran itu menerima sambutan hangat apabila mencatat hampir 130,000 tontonan dan jumlah terbabit paling tinggi sepanjang Apa Itu Cinta musim kedua.

Layari laman web www.suria.my untuk menonton video berdurasi pendek terbitan Suria seperti Sensasi Suria, Suria Jam, #ApaItuCinta dan Parodi Zulin.

Selain itu, ikuti program terbaru kendalian Fizi Ali dalam segmen Popcorn Suria yang memberikan informasi dan ulasan filem terbaru di pawagam.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 5:21am
d