rap

Sertai syarikat gergasi

Oleh Najiy Jefri

Selepas sekian lama mengatur kerjaya seni sendiri, pelakon dan penyanyi, Alvin Chong kini bernaung di bawah pengurusan 360 milik Universal Music Malaysia untuk bergelar penyanyi rakaman.

Namun, kontrak yang ditandatangani bukan saja sebagai seorang penyanyi, sebaliknya, Alvin turut memberi kepercayaan penuh pada Universal Music untuk menguruskan segala urusan karier seninya termasuk kontrak sebagai duta dan hal berkaitan.

Alvin, 26, berkata, dia mengambil keputusan itu untuk memastikan kerjayanya lebih kukuh dan mempunyai impak yang lebih besar dengan menyertai syarikat gergasi itu.

“Sudah beberapa tahun saya uruskan sendiri kerjaya seni dan ia berjalan dengan baik.

“Tapi saya percaya kerjaya seni akan berkembang ke peringkat yang lebih bagus apabila bernaung di bawah pengurusan Universal Music,” katanya.

Keputusan pelakon yang dikenali menerusi drama Suri Hati Mr Pilot itu menandatangani kontrak bersama syarikat itu juga kerana jadual kerjanya yang semakin padat.

Kata Alvin, dia kini tidak lagi perlu risau kerana semuanya diuruskan syarikat pengurusannya.

“Saya mula sedar bahawa saya hanya mampu melakukan beberapa perkara saja. Universal Music datang pada waktu yang tepat.

“Mereka menunjukkan potensi untuk saya melangkah dengan lebih jauh pada masa hadapan. Saya berasa kagum dan tertarik dengan keikhlasan mereka.

“Saya percaya dengan bernaung di bawah bumbung Universal Music, karier akan berkembang ke peringkat yang seterusnya.

“Lebih penting lagi, kami berada dalam visi yang sama iaitu mahu melebarkan pasaran saya ke luar negara dan membuatkan Malaysia bangga,” katanya.

Dalam pada itu, Alvin akan melancarkan single baru berjudul Mencintaimu menjelang penghujung bulan ini.

Menerusi lagu itu, Alvin berkolaborasi dengan Sid Murshid, yang juga artis bawah naungan sama.

Lebih membanggakan, lagu itu sudahpun dipilih sebagai salah satu lagu runut bunyi drama bersiri Coffee Prince yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Selain Alvin, pelakon dan penyanyi, Fazura juga berada di bawah pengurusan 360 milik Universal Music.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 4:57am
d