rap

Sasar pasaran global

Oleh Norhayati Nordin

Perkembangan industri hiburan di Malaysia kini sangat menyeluruh merangkumi lakonan, nyanyian, muzik, penciptaan lagu dan penghasilan filem.

Malah, untuk penghasilan filem semakin banyak karya arahan anak tempatan mampu dibanggakan.

Justeru, untuk 2018 ini satu penerbitan filem baru berdasarkan kisah benar masih dalam perancangan teliti.

Jika segala-galanya berjalan lancar, RedboyProduction akan muncul menghasilkan filem C144 yang bertaraf antarabangsa.

Penerbitnya, Aaron Lim berkata, filem C144 menjurus pada kisah benar berhubung kehilangan pesawat Amerika Syarikat (AS) di hutan Malaysia ketika Perang Dunia Kedua.

“Saya mengambil masa lebih satu setengah tahun membuat penyelidikan terperinci daripada pelbagai aspek untuk filem ini.

“Saya mahu menghasilkan satu plot cerita yang kuat berdasarkan fakta sebenar tragedi itu berlaku.

“Apatah lagi, saya sangat yakin kekuatan sesuatu filem terbaik datangnya daripada penulisan skrip dan plot cerita yang kuat,” katanya.

Pada masa sama, Aaron mempunyai impian besar untuk filem C144 arahan Jack Wong itu berjaya di luar negara.

“Saya sebenarnya merancang sesuatu yang besar pada filem C144 apabila mahu membawa tayangannya ke luar negara.

“Dijangkakan filem C144 akan menjengah pawagam di 20 negara yang secara tidak langsung menyasarkan pasaran global. Antaranya ialah AS, China, Kanada, Hong Kong, Australia, England, Taiwan, Sepanyol, Thailand, Vietnam, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Menurut Aaron, apa pun hingga kini dia sudah membuat lebih 12 kali rombakan pada skrip dan plot cerita untuk filem C144 itu.

“Saya melihat dan mengkaji pasaran filem di luar negara lebih mengutamakan jalan cerita sesuatu karya seni yang dipersembahkan.

“Jika jalan cerita bagus dan mantap seiring dengan lakonan barisan pelakon, potensi filem untuk berjaya di pawagam agak cerah.

“Walaupun dalam filem itu menampilkan bakat pelakon baru tetapi kejayaannya tetap tertumpu pada jalan cerita mantap,” katanya.

Justeru, barisan pelakon filem C144 yang berjaya dalam uji bakat ialah Koey Har, Adery Chin, Ibrahim Edward, Dyvianna James, Loong Wah dan Jasmine Leddar.

Mengulas jadual penggambaran, Aaron berkata, semua pelakon dijangka masuk ke lokasi penggambaran pada Januari depan.

Ditanya kos pembikinan keseluruhan, Aaron akui bajet kewangan untuk filem C144 agak tinggi iaitu dianggarkan sebanyak RM8 juta.

Berkongsi lokasi penggambaran pula, Aaron berkata, antaranya Beruas, Perak; Bentong dan Raub, Pahang serta sekitar Kuala Lumpur.

Terdahulu, Aaron yang mewakili Redboy Production menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara produksi global iaitu Hollywood Tribute (AS), Belt & Road Film dan TV Global Union (China) dalam satu majlis, baru-baru ini.

Disiarkan pada: November 26, 2017 @ 4:09am
d