rap

Ikhwan mahu berehat, intai peluang lain

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

SELEPAS 10 tahun bergelar penyampai radio di Hot FM kemudian di Kool FM, Mohd Khairul Ikhwan Rosli atau Ikhwan, 34, memilih untuk berehat daripada dunia penyampaian radio bermula 24 November lalu.

Ikhwan menafikan dia berhenti sebagai penyampai sebagaimana diperkatakan sebaliknya mahu berehat seketika untuk fokus kepada keluarga.

“Ada kata saya keluar dari dunia radio. Tidak benar, saya hanya mahu berehat sekejap. Saya mahu fokus pada keluarga terutama selepas isteri keguguran April lalu,” katanya.

Berkahwin dengan Noor Idayu Mohd Shari Januari lalu, Ikhawan tidak menolak seandainya ada tawaran dari mana-mana stesen radio pada masa depan.

“Kalau ada tawaran, saya sedia pertimbangkan kerana kerjaya sebagai penyampai sinonim dengan saya," katanya.

Ikhwan juga mahu mengambil masa terluang untuk kembali aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian yang agak lama ditinggalkan.

Mula dikenali melalui watak Bong dalam sitkom Bong pada 2007, Ikhwan juga pernah berlakon drama Kawan, Siapa Bos dan Destinas G4.

Dia juga pernah menghasilkan single duet Percaya bersama Diddy Astillah serta bekerjasama menghasilkan lagu bersama Daly Filsuf dan Dynda.

Disiarkan pada: November 27, 2017 @ 5:20pm
d