rap

Konsert Islamik lakar sejarah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Konsert Rapatkan Saf, sebuah program yang memaparkan lagu kerohanian serta tazkirah yang menggabungkan artis dan pendakwah Nusantara bakal diadakan secara langsung dengan penuh gilang-gemilang di pentas AlHijrah Big Studio (ABS), Jumaat ini.

Ia bagi mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul dengan menggabungkan selawat, nyanyian, monolog ketuhanan dan zikir munajat dalam menzahirkan rasa kecintaan tidak berbelah bagi kepada Nabi Muhammad SAW serta menyampaikan mesej Islam adalah agama keamanan dan penyatuan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat TV AlHijrah Norisah Sulaiman berkata, konsert yang akan disiarkan selama dua jam tiga puluh minit bermula jam 9 malam hingga 11.30 malam ini bakal melakar sejarah tersendiri.

“Ia bukan saja kerana disiarkan secara langsung di TV AlHijrah dan beberapa stesen penyiaran utama dalam negara, namun, paling istimewa konsert Islamik ini turut mendapat kerjasama penuh rakan penyiaran antarabangsa.

“Seiring dengan tema Go Global yang dipegang erat oleh TV AlHijrah, tiga saluran antarabangsa iaitu Darshana TV India, ITV Networks Afrika Selatan dan UBONTV Indonesia juga berganding bahu menjadi rakan penyiar acara ini,” katanya.

Selain itu, Konsert Rapatkan Saf juga ditayangkan serentak di saluran TV utama iaitu RTM TV1, Bernama TV, TV IKIM dan saluran radio IKIM.fm (91.5).

Penyatuan kesemua penyiar utama dalam dan luar negara ini adalah satu pembaharuan idea dalam menghayati peribadi Rasululullah SAW, ketabahan serta kesungguhan Rasulullah dan semua sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia Timur dan Barat.

“Konsert Rapatkan Saf menyajikan persembahan berbentuk Islamik dan hiburan moden yang selari dengan era globalisasi buat penonton.

“Namun, pada masa sama gabungan kesemua saluran utama dalam menyiarkan konsert ini secara serentak adalah simbolik terbaik untuk menggambarkan konsep merapatkan saf, berganding bahu dan saling membantu sesama rakan industri penyiaran negara, barisan artis dan pekerja dalam parameter syariat,” katanya.

Konsert Rapatkan Saf dilihat bakal menandingi konsert berprestij lain yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Ia membariskan artis tersohor seperti Ramli Sarip, Lah Ahmad, artis religi Indonesia, Rijal Vertizone, Fikri Yasir, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Wani dan juga penampilan pertama Datuk M Nasir serta Hazama di TV AlHijrah dengan dendangan lagu pilihan seperti Kepada Mu Kekasih, Maulaya, Sumayyah, Agung, YaRasulullah, Mahakarya Cinta, Phoenix Bangkit Dari Abu dan Peristiwa Subuh.

Turut memeriahkan adalah barisan pendakwah Nusantara seperti Habib Ali Zaenal Abidin ,Ustaz Syed Kadir Al Joofre, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi , Ustazah Isfadiah Dusuki, PU Rozi Harun, Ustaz Zul Ramli dan Ustaz Luqman Nurhakim. Pengacaranya pula ialah Ustaz Fadzli Aziz.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 5:13am
d