rap

Anas tidak menghilang

Oleh Georgie Joseph

Meskipun kelibatnya di media sudah semakin jarang, pelakon Anas Ridzuan menafikan dia menghilang daripada industri hiburan tanah air.

Pelakon berusia 28 tahun yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Mentor itu bahkan semakin stabil dalam kerjaya seni.

Bukan sekadar berlakon, kini dia mula berkecimpung dalam bidang penyampaian radio dan menyertai stesen IM4U sejak beberapa bulan lalu.

“Saya mengendalikan segmen Bangkit Squad dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari bersama Amrita dan Tyler. Ia pengalaman baru namun cukup seronok sebenarnya.

“Pertama disebabkan kini saya ada kerja tetap dan mengikat kontrak dengan stesen itu selama setahun. Kedua, saya tidak membazirkan kebolehan diri yang suka bercakap,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui memang dirinya sudah jarang mendapat liputan di akhbar. Namun tidak bermakna dia sudah tiada tawaran sebaliknya rezeki Anas tidak pernah putus dalam bidang seni.

“Saya masih terbabit dalam industri seni. Tidak menghilang pun tetapi memang saya jarang muncul di media massa sekarang.

“Tapi tawaran memang sentiasa ada dan banyak juga drama lakonan yang kini ditayangkan di kaca televisyen sekarang. Awal tahun depan saya akan muncul dalam filem berjudul Busker,” katanya.

Bercerita mengenai lakonan, bagi Anas, dia lebih suka menganggap ia sebagai kerjaya tetap dan bukan berpaksikan mahu popular atau menjadi artis.

“Daripada mengejar populariti, saya lebih suka menjadikan bidang lakonan sebagai kerja tetap. Disebabkan itu segala tawaran yang datang saya ambil dan buat dengan serius.

“Lagipun, saya pun kena menanggung keluarga dan perlulah terus berusaha keras dalam bidang ini. Syukur tawaran pun tidak putus dan saya sentiasa mendapat kepercayaan penerbit,” katanya.

Sentiasa diberikan watak yang hampir sama iaitu karakter gila-gila dan lucu, Anas mengakui dia tiada masalah dengan senario begitu. Bagaimanapun, dia mengimpikan kepelbagaian watak juga diberikan pada masa depan.

“Saya okey saja dengan setiap watak yang diberi setakat ini. Lagipun, ia bersesuaian dengan diri ini dan lebih senang untuk dihidupkan.

“Namun, saya juga sentiasa menanti watak yang mencabar kebolehan sedia ada. Saya sedia untuk melakukan transformasi yang diminta pengarah,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 5:18am
d