rap

Noktah karier seni

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Tanggal 27 November cukup bersejarah buat pelakon Meghan Markle yang kini sah bergelar tunang kepada Putera Harry dan mengumumkan mengenai persaraannya dalam bidang lakonan.

Bekas bintang Suits berusia 36 tahun ini memilih untuk fokus kepada hidupnya bersama Harry dan dengan rela hati menoktahkan kariernya.

Meghan yang pernah bergelar duta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata itu adalah transisi dalam kehidupannya.

“Saya menganggap ini perubahan yang mengujakan kerana banyak perkara baru boleh dilakukan.

“Ia tidak bermakna saya melepaskan sesuatu untuk memulakan perkara lain sebaliknya ia perubahan terhadap lembaran baru dalam hidup,” katanya.

Katanya, sepanjang tujuh tahun menjayakan siri Suits banyak perkara sudah dicapai.

“Saya bersyukur kerana mampu bertahan lama. Saya bangga dengan pencapaian setakat ini,” katanya.

Dalam satu temu bual, Harry berkongsi kisah cintanya dengan pelakon itu.

“Saya jatuh cinta dengannya dan dia juga begitu. Kami bertemu dan selepas beberapa ketika, saya rasa kami ada jodoh.

“Seperti pasangan lain, kami berdepan dugaan dan berjaya mengharunginya. Malah saya yakin Meghan dapat melakukan banyak perkara,” katanya.

Pasangan itu bertemu di London pada Julai 2016 selepas diperkenalkan oleh beberapa kenalan.

Pada Januari 2017, Harry memperkenalkan Meghan kepada kakak iparnya, Kate Middleton dan anak saudaranya, Puteri Charlotte.

September lalu menyaksikan Meghan buat pertama kalinya mengadap nenda Harry, Ratu Elizabeth II di Istana Balmoral.

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 8:08am
d